Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Rayu tunang pulang

Rayu tunang pulang - Melaka & NS - Sinar Harian:

Rayu tunang pulang
MOHD NUR NAZRI
PORT DICKSON – Seorang lelaki merayu tunangnya pulang semula ke pangkuan keluarga setelah lebih tiga minggu keluar dari rumahnya di Felda Serting Hilir, Bahau.

Mohd Nor Nazri Paie, 24, berkata, tunangnya, Norhatiqah Rasli, 18, meninggalkan rumahnya awal pagi pada 26 September lalu secara senyap melalui pintu belakang rumahnya.

Menurutnya, tindakan tunangnya itu disedari ibunya selepas mendengar bunyi kereta berhampiran rumah.

"Sejurus itu, ibunya meninjau di tingkap dan melihat Norhatiqah masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum dipandu laju meninggalkan rumah.

"Ketika itu, Norhatiqah turut membawa beberapa helai pakaian dan barang peribadi serta wang tunai miliknya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Nor Nazri berkata, seminggu sebelum kejadian itu, dia ada bertemu Norhatiqah di rumahnya di Bahau.

“Kami berbual seperti biasa dan tiada sebarang tingkah laku ataupun perbualan yang menunjukkan dia tidak berpuas hati.

“Kami juga ada berbincang mengenai hal perkahwinan dan dia kelihatan gembira sepanjang pertemuan kami,” katanya.

Menurutnya, dia mengikat tali pertunangan dengan Norhatiqah pada Julai lalu dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada bulan ini.

“Wang hantaran dan persiapan perkahwinan sudah disiapkan, hanya  menunggu tarikhnya sahaja. Saya tidak menyangka dia akan lari dari rumah.

“Saya tidak mempunyai masalah dengannya kerana selama dalam tempoh bertunang ini hubungan kami rapat serta mendapat restu seluruh ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan Nuhatiqah melarikan diri, dia cuba menghubungi nombor telefonnya beberapa kali, namun gagal.

“Sepanjang hampir tiga minggu ini, ada juga beberapa kali saya menerima panggilan telefon yang mengarahkan saya agar memutuskan tali pertunangan dengan Nurhatiqah.

“Namun pemanggil tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana dia hanya akan bercakap beberapa saat sahaja sebelum memutuskan talian. Beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor sama juga diterima dan bila ditanya di mana tunang saya, SMS tersebut tidak dibalas,” katanya.

Mohd Nor Nazri berkata, dia mengenali tunangnya itu ketika Nurhatiqah tinggal dan membantu neneknya di sebuah kedai makan di Pasir Panjang.

“Kami berkenalan dan berkawan hampir setahun sebelum sama-sama bersetuju untuk bertunang.

“Saya akui sebelum bertunang, Nurhatiqah mempunyai ramai rakan lelaki, namun dia sudah berubah malah ia diakui oleh nenek dan ahli keluarganya,” katanya.

Mohd Nur Nazri berharap Nurhatiqah akan pulang dan dia sedia memaafkan tindakan tunangnya itu.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment