PETALING JAYA - Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor merampas 120 kotak produk pelangsing bernilai RM13,680 kerana mengandungi racun ‘sibutramine’ yang membahayakan kesihatan daripada sebuah premis perniagaan di sini.

Timbalan Pengarah Farmasi (Kuatkuasa) jabatan itu, Jaafar Lassa berkata selepas mendapat aduan daripada orang ramai, pihaknya bertindak menyerbu premis perniagaan tersebut yang beroperasi di Mutiara Damansara  pada 2 petang tadi.   

Beliau berkata pihaknya mendapati produk itu, yang boleh menyekat selera makan dan jika diambil berlebihan boleh menyebabkan serangan jantung, dijual dengan harga RM90 sekotak.

Produk itu didakwa mendapat sambutan kerana terbukti boleh menurunkan berat badan dalam masa yang singkat, katanya kepada Bernama.

Jaafar juga berkata sebelum ini, pihaknya sudah mengambil sampel produk itu untuk pemeriksaan di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan mendapati ia mengandungi sibutramine dan tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika membeli produk pelangsingan kerana ada yang mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan.

Katanya, pemilik premis itu akan didakwa mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM25,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  - Bernama