Search This Blog

Saturday, October 13, 2012

Porsche RM900,000 dilarikan

Porsche RM900,000 dilarikan:


Sebuah Porsche Panamera 4 dilarikan dari sebuah bilik pameran kereta jenama tersebut di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seorang lelaki melarikan sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera 4 berharga RM900,000 di sebuah bilik pameran kereta jenama itu di Jalan Bukit Bintang di sini pagi ini, setelah berpura-pura mencari seorang rakan yang kononnya kakitangan di situ.
Kehadiran suspek yang memang dikehendaki polis kerana mempunyai 13 rekod kesalahan lampau termasuk satu kes curi kenderaan di Pelabuhan Klang dekat sini sebelum ini, tidak menimbulkan curiga kepada kakitangan di bilik pameran itu memandangkan keadaannya yang berpakaian kemas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, suspek yang memakai baju kemeja putih dan bertopi baseball warna hitam memasuki bilik pameran kereta jenama Porsche beralamat di Porsche Centre Bukit Bintang, Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. di Jalan Bukit Bintang pada pukul 9.06 pagi.
Beliau berkata, ketika itu, terdapat pengawal keselamatan dan tidak banyak kakitangan berada dalam premis tersebut memandangkan waktu operasi perniagaan hanya bermula pukul 10 pagi.
"Suspek masuk ke ruang pameran dan berpura-pura mahu berjumpa dengan seorang kakitangan di pejabat tersebut.
"Dia kemudiannya naik ke tingkat satu dan menggeledah meja di situ sebelum menemui sampul surat mengandungi anak kunci," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, selepas menemui anak kunci, suspek turun dan keluar dari ruang pameran sambil menekan anak kunci untuk mengetahui lokasi kereta yang menggunakan kunci tersebut.
Beliau berkata, sebaik sahaja menemukan kereta berkenaan yang kebetulan di letak di luar premis itu, suspek terus memandunya dan melarikan diri.
Katanya, kereta Porsche Panamera 4 warna emas berharga RM900,000 itu belum lagi didaftarkan dan diletak di luar premis untuk proses dihantar ke pusat pameran di Glenmarie, Shah Alam dekat sini.
"Polis yang menerima laporan tentang kejadian itu sejam kemudian segera menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
"Siasatan lanjut mendapati suspek dikenali sebagai Mohd. Azri Mohd. Kassim, 31, dan dikehendaki polis kerana mempunyai 13 rekod kesalahan lampau dan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Renggam, Johor pada 2007 hingga 2008," katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit dikesan mempunyai 13 rekod jenayah sejak 2006 membabitkan kes curi kereta, dadah dan samun.
Zainuddin berkata, polis percaya suspek sudah melarikan kereta tersebut keluar dari kawasan ibu negara dan sedang berusaha mengesannya.
Katanya, Mohd. Azri yang memiliki MyKad bernombor 811103- 10-6035 mempunyai alamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Kondominium Armanee, Damansara Perdana, Kuala Lumpur.
"Orang ramai yang mengenali dan mempunyai matlumat mengenai Mohd. Azri diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Kamarulzaman Endut di talian 019-6323333 atau IPD Dang Wangi (03-26797099) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (03- 21460584) bagi membantu siasatan," ujarnya.
Kejadian hari ini adalah kes samun kedua di bilik pameran kereta mewah dilaporkan berlaku di Lembah Klang dalam tempoh 17 hari.
Pada 25 September lalu, sekumpulan 10 lelaki bertindak nekad memecah masuk sebuah bilik pameran kereta Honda di Sungai Long, Kajang dekat sini dan melarikan lima buah kereta bernilai kira-kira RM500,000 yang diletakkan dalam premis itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121012/je_02/Porsche-RM900000-dilarikan#ixzz29A0JDrUj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment