Search This Blog

Thursday, October 11, 2012

Polis tahan 5 lelaki dipercayai larikan kereta mewah


JASIN - Polis berjaya menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan curi lima kereta mewah di sebuah pusat pameran jualan kereta di Bandar Sungai Long di Kajang, bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada 5.20 petang semalam berhampiran jeti Anjung Batu Umbai selepas pulang dari Pulau Besar dekat sini hasil maklumat awam.
Beliau berkata polis turut merampas dua kereta jenis Honda Accord dianggarkan bernilai RM300,000 sekaligus menemui kesemua kenderaan yang dilarikan dari pusat pameran berkenaan setelah tiga daripadanya ditemui polis sebelum ini.
Katanya sejam sebelum itu, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas dua kereta berkenaan yang tidak mempunyai cukai jalan di tempat letak kereta jeti tersebut.
"Polis kemudian mengekori lima lelaki terbabit yang tiba di jeti menaiki bot penambang sebelum salah seorang daripada mereka cuba membuka pintu sebuah daripada kereta berkenaan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.
Muhd Nur Hishamuddin berkata polis kemudian menahan lelaki terbabit sebelum empat lagi rakannya cuba melarikan diri namun gagal.
 
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut, sembilan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah USD500 turut dirampas dari kelima-lima lelaki itu yang berasal dari Rawang, Selayang dan Balakong di Selangor.
Katanya kesemua mereka telah dibawa ke IPD Kajang bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyan 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan. 
Dalam kejadian pada 25 Sept lepas di Kajang, 10 penjenayah bersenjatakan parang, kapak dan pisau bertindak mengikat dua pengawal keselamatan sebelum melarikan lima kereta mewah berkenaan.  - Bernama

No comments:

Post a Comment