Search This Blog

Friday, October 19, 2012

Polis masih buru ‘Zawa’




         
KOTA BHARU: Sebuah kereta Perodua Myvi yang dilarikan dari sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan, di sini, dalam kejadian samun dan tembak Selasa lalu ditemui di Pasir Mas, kelmarin.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu.


Katanya, kereta itu ditemui susulan daripada kemalangan yang berlaku membabitkan kereta dipandu suspek bersama seorang wanita di Pasir Mas, kira-kira jam 4.30 petang.

“Kita masih lagi memburu seorang suspek dikenali sebagai ‘Zawa’ yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara, mungkin negara jiran. “Kereta Perodua Myvi yang dilarikan pada malam kejadian pula berjaya ditemui selepas dia terbabit dalam satu kemalangan dan kita menemui lima butir peluru dalam kereta berkenaan.


“Selepas kemalangan itu, dia dan wanita itu mungkin melarikan diri menggunakan sebuah kereta Proton Wira yang mengekorinya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.


Harian Metro Rabu lalu melaporkan, seorang peniaga mengalami luka di bahagian kanan kepala dan lengan selepas terkena tembakan yang tersasar dilepaskan seorang suspek.

Mangsa, Samnuan Sunnuan, 21, dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.


Kejadian itu dikatakan berlaku apabila mangsa bersama rakan perempuannya, Lee Win Dee, 20, singgah di stesen terbabit untuk mengisi minyak kereta Perodua Myvi sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang membawa sepucuk pistol masuk.

Akibat ketakutan, Lee berlari keluar dan masuk ke dalam sebuah kenderaan milik pelanggan.

No comments:

Post a Comment