Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

Polis kenal pasti penyamun



KOTA BHARU 21 Okt. - Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes cubaan samun seorang peniaga kedai runcit di Kampung Batu 6, Jalan Lapang Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya kini giat mengesan suspek terbabit.
"Semua suspek sudah dikenal pasti dan polis sedang berusaha mengesan kedudukan mereka. Mereka tak boleh lari ke mana, sama ada cepat atau lambat sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis tamat latihan dan pentauliahan Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan empat penyamun bersenjatakan pistol berputih mata apabila gagal melarikan seutas gelang emas kepunyaan pemilik sebuah kedai runcit selepas barang kemas bernilai RM2,500 itu tercicir semasa mereka melarikan diri.
Dalam kejadian itu, suspek melepaskan tembakan ke udara sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua MyVi dan siasatan awal polis mendapati, kesemua suspek dipercayai kumpulan sama yang menembak seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kebun Sultan sebelum ini.
Sementara itu, Jalaluddin memberitahu, seramai 850 anggota SSP akan dilantik bagi memenuhi kekosongan jawatan menjelang penghujung tahun ini bagi membantu tugas polis dalam membanteras jenayah.
"Tiga siri temuduga telah dilakukan dan senarai pendek calon juga telah dibuat. Jawatan ini mendapat sambutan kakitangan kerajaan dan swasta termasuk peniaga.
"Khidmat mereka akan digunakan untuk tugas-tugas seperti kawalan keselamatan, rondaan motosikal, operasi tertutup dan sekatan jalan raya," kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121022/wt_02/Polis-kenal-pasti-penyamun#ixzz2A6B6u8fv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment