SEGAMAT - Sebanyak 7,660 saman telah dikeluarkan oleh polis daerah ini bermula Januari lalu sehingga Oktober 2012.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud berkata, saman yang dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu motosikal dan kereta.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut pihaknya juga telah melakukan sebanyak 63 operasi motosikal di daerah ini yang mana ianya lebih tertumpu di Jalan Genuang dan Jalan Abdullah memandangkan risiko kemalangan tertinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di laluan berkenaan.

“Dalam operasi terbabit polis telah menyita sebanyak 184 buah motosikal. Antara kesalahan yang dilakukan ialah mengubah suai kenderaan dan kebanyakan motosikal ini tidak diambil semula oleh pemilik asalnya.

“Polis akan tingkatkan operasi motosikal ini terutamanya di hujung minggu bagi mengurangkan kes lumba haram atau kesalahan jalan raya lain yang boleh mengakibatkan kemalangan serta mengganggu lalu lintas,” katanya pada sidang media di IPD Segamat, semalam.

Hanafi berkata, semua saman yang dikeluarkan boleh dibayar terus di Balai Polis Trafik.

Katanya, pesalah yang gagal menjelaskan dari tarikh yang ditetapkan akan dikenakan tindakan mahkamah dan seterusnya mungkin boleh membawa kepada hukuman penjara.

Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu terutama pada musim hujan ini kerana keadaan jalan yang licin lebih mengundang risiko kemalangan.

“Direkodkan jumlah kemalangan maut iaitu kes kematian di tempat kejadian sepanjang tahun ini melibatkan sebanyak 46 kes, manakala jumlah kematian juga sama (46) kes,” katanya.