Search This Blog

Friday, October 19, 2012

‘Polis’ jual barang lelong dikehendaki




         
SHAH ALAM: Polis memburu seorang lelaki dipercayai menyamar anggota polis sebelum menawarkan diri menjual barang lelong milik balai polis dengan harga murah di Sabak Bernam, sejak dua tahun lalu.

Jurucakap polis berkata, suspek berusia awal 40-an itu menyamar anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Balai Polis Sungai Besar dengan membuat tawaran untuk menjual komputer riba berharga RM1,000 dan telefon bimbit pada harga kurang RM500 kepada mangsa.


Katanya, suspek berjanji dengan mangsa untuk datang semula menyerahkan barang jualan sebelum menghilangkan diri.

“Ketika menjalankan urus niaga, suspek tidak membawa komputer riba dan telefon bimbit itu dan berjanji bertemu mangsa semula untuk menyerahkan barang yang dibeli kemudian.


“Suspek mengaku barang berkenaan adalah peralatan yang mahu dilelong pihak Balai Polis Sungai Besar,” katanya.


Jurucakap polis berkata, suspek terbabit sudah diburu polis sejak Jun 2010 selepas melakukan penipuan terhadap tiga mangsa di Sabak Bernam. Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rodziah Ahmad Tajuddin di talian 012-4874652 dan Sarjan Zuljabar Arshad di talian 012-6240247 dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam atau hubungi 03-32410222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment