penkid
Sebahagian daripada penagih termasuk seorang gadis penkid yang ditahan polis narkotik dalam serbuan di sekitar Paka pagi kelmarin.
DUNGUN - Tindakan seorang gadis berlagak seperti lelaki mengunjungi sebuah rumah, dipercayai port penagih memerangkap dirinya sendiri apabila lokasi terbabit tiba-tiba diserbu pihak berkuasa di Kuala Paka dekat sini, pagi kelmarin.

Hasil serbuan di rumah berdekatan pangkalan nelayan yang dipercayai sering menjadi port lepak kumpulan penagih itu, tiga suspek berjaya ditahan termasuk dua daripadanya difahamkan adik beradik kepada gadis penkid berkenaan.

Hasil ujian saringan awal air kencing  mendapati gadis berusia 19 tahun itu bebas daripada pengaruh dadah.

Bagaimanapun perasaan lega gadis yang berasal dari Paka itu tidak kekal lama apabila semakan rekod polis mendapati dia gagal hadir perbicaraan atas  dakwaan satu kes lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Akhirnya gadis yang pernah memiliki rekod positif dadah jenis methampethamine itu dihadapkan ke mahkamah sebelum terpaksa meneruskan kehidupan selama enam bulan di sebalik tirai besi akibat gagal menjelaskan denda RM2,500 yang dikenakan ke atasnya.

Selain gadis terbabit, 22 lagi penagih turut ditahan dalam serbuan berasingan pada hari sama oleh sepasukan polis narkotik diketuai Inspektor Ismail Omar sekitar Kuala Paka, Kampung Limbong dan Kampung Cacar.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan tersebut memaklumkan 16 daripada kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis methampethamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua daripadanya disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah berbahaya.