Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

Peniaga, juruwang mengaku salah beri dan tawar rasuah kepada pegawai polis


JOHOR BAHRU: Seorang peniaga pakaian dan juruwang di pusat urut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi dan menawarkan rasuah kepada seorang pegawai polis, Januari lepas.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz memerintahkan Liow Eek Chong, 55, dan Gan Kim Hoat, 46, masing-masing didenda RM16,000 dan RM10,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.
Liow didakwa memberikan suapan wang tunai RM3,050 kepada ASP Mohd Ali Ahmad yang bertugas di Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Premis Gold Butterfly Traditional Massage di nombor 8A, Jalan Sasa 2, Taman Gaya, Ulu Tiram, kira-kira 9 malam, 10 Januari lepas.

Wang tersebut sebagai dorongan supaya Mohd Ali tidak mengambil tindakan ke atas Gan yang disyaki terlibat atas kesalahan menggajikan warga asing yang tiada permit kerja yang sah dan disyaki menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.


Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.


Gan pula didakwa menawarkan suapan wang tunai RM1,000 kepada Mohd Ali sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas dirinya yang disyaki terlibat dengan kesalahan menggajikan warga asing tiada permit kerja yang sah dan disyaki menjadi orang tengah dalam aktiviti persundalan.

Dia didakwa melalukan kesalahan itu antara 7.45 malam dan 8.45 malam, di alamat dan tarikh yang sama.

Kesalahan tersebut dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Sajori Martubi manakala Gan diwakili peguam Wu Yue Qin. - Bernama

No comments:

Post a Comment