Tan Kian Cheng keluar dari mahkamah.
Tan Kian Cheng keluar dari mahkamah.
JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat menjual alat ganti kereta dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sinihari ini atas dakwaan memberi suapan RM5,000 kepada penyelia keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun lalu.

Tertuduh, Tan Kian Cheng, 29, mengaku bersalah memberi suapan kepada Penyelia Keselamatan Tingkatan Kanan TNB Kuala Lumpur, Mohd Sanusi Zakaria sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes disyaki kecurian elektrik di premis miliknya beralamat di Taman Universiti, Skudai di sini.

Beliau yang memakai baju berwarna kuning itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam tandas Hotel Mutiara di Jalan Dato' Sulaiman di sini pada jam 9.25 malam, 21 Julai tahun lalu.
Kian Cheng dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9.30 malam selepas memberikan suapan kepada Mohd Sanusi di tandas hotel berkenaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diringankan hukuman dengan memberi alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan berharap diberi peluang untuk menebus kesalahan selain menanggung ibu bapa yang uzur.
Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman tersebut bermula dari tarikh jatuh hukum dan denda RM25,000, jika gagal membayar denda, dia akan dipenjara enam bulan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Ridzuan Abdul Malik.