Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

Pencuri tebuk bank



         
PETALING JAYA: Sekumpulan perompak bertindak licik apabila bukan saja menebuk dinding ruang sampah sebuah bank di Dataran Sunway, Kota Damansara, di sini, bagi membolehkan mereka menceroboh masuk, malah menutup alat pengesan pergerakan keselamatan premis itu dengan tin sebelum melarikan wang RM176,000.

Polis menerima laporan kejadian itu pada jam 7.53 pagi semalam selepas kakitangan bank berkenaan membuka premis untuk memulakan operasi seperti kebiasaannya dan terkejut apabila mendapati lubang pada dinding manakala wang dalam peti besi lesap dilarikan.


Penjenayah lebih dua orang itu dipercayai menebuk ruang sampah di belakang bank berkenaan sebelum menembusi bilik pantri dan sekali lagi menebuk dinding bilik kebal yang menempatkan peti besi.

Penjenayah terbabit menutup alat pengesan pergerakan yang dipasang dalam bilik kebal itu dengan tin bagi mengelak sistem penggera berbunyi sebelum menggunakan alat pengimpal logam untuk memecah peti besi.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata hasil siasatan di tempat kejadian polis menemui satu mesin penebuk yang ditinggalkan suspek. Selain itu, berdasarkan keadaan pintu bilik kebal, polis percaya suspek juga menggunakan alat pengimpal logam jenis gas Oxy-Acetylene bagi menebuk peti besi.


Katanya, kumpulan perompak itu amat licik dan dapat mengelak kegiatan mereka disedari berikutan mereka dipercayai mahir dalam jenayah samun bank dan melakukan perancangan rapi sejak sekian lama.


“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kelmarin iaitu ketika hari minggu dan bank tidak beroperasi sehingga awal pagi semalam. Suspek menebuk dinding bahagian belakang sebelum masuk dan memecahkan peti besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

No comments:

Post a Comment