Search This Blog

Thursday, October 4, 2012

Pemungut hutang dipenjara dua tahun, 10 sebatan kerana menipu

PETALING JAYA - Seorang pemungut hutang di sebuah syarikat guaman dihukum penjara dua tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas 24 pertuduhan menipu seorang pelajar perempuan membabitkan kerugian RM5,880, Mac lalu.
Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Mohd Yassin, 22, dari Negeri Sembilan setelah dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika pertuduhan dibacakan.
Mahkamah memerintahkan Mohd Afiq menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, 18 Jun lepas.
Mohd Afiq bernasib baik kerana jumlah sebatan dikurangkan daripada 24 sebatan kepada 10 kerana tertuduh merupakan pesalah muda mengikut Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 sebatan.
Mohd Afiq didakwa dengan curangnya memperdayakan Mastura Hanim Madzlan, 21, sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang berjumlah antara RM120 dan RM840 ke akaun milik tertuduh bagi pembelian barangan rampasan kastam seperti telefon pintar dengan tertuduh bertindak sebagai 'orang tengah'.

Mohd Afiq didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB bank Serdang Perdana, Seri Kembangan, Selangor antara 2.30 petang dan 2.56 petang pada 12 Mac dan 20 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Maria Soo Sai Raj. - Bernama

No comments:

Post a Comment