Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Pelajar Tingkatan Dua mati dibelasah

Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian  di hentian bas Pulau Sebang, Tampin, semalam.Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian di hentian bas Pulau Sebang, Tampin, semalam. Pertengkaran punca pergaduhan

Alor Gajah: Seorang pelajar Tingkatan Dua mati akibat parah selepas dipercayai dipijak dan ditumbuk bertubi-tubi oleh sekumpulan pelajar lain di Stesen Bas Pulau Sebang, dekat sini, petang semalam.

K Saravannan, 14, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tampin sejurus selepas kejadian, jam 2.30 petang itu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tingkat atas stesen bas berkenaan dalam keadaan terbaring.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata siasatan awal mendapati berlaku cabar-mencabar antara mangsa dengan dua suspek yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mansur Shah, di sini.

Katanya, sejurus selepas pertengkaran itu, mangsa kemudian diserang dan ditumbuk bertubi-tubi serta dipijak oleh dua suspek berkenaan sambil disaksikan lebih 30 individu termasuk pelajar sekolah.

“Akibat teruk dibelasah, mangsa kemudian pengsan dan semua yang berada di kawasan kejadian termasuk suspek melarikan diri akibat ketakutan.


Alami kecederaan dalaman
“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tampin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Raja Shahrom berkata, berikutan itu, polis menahan dua remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat dan saksi kejadian, kedua-dua suspek ditahan polis ketika sedang bermain bola di Padang Bola Pulau Sebang, jam 6 petang.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati pergaduhan itu berlaku tidak berunsurkan perebutan kawasan, sebaliknya hanya pergaduhan biasa membabitkan kanak-kanak.

“Mayat mangsa dipindahkan ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment