Search This Blog

Thursday, October 4, 2012

Pekerja Indonesia lancar mogok



Anggota ketenteraman awam Indonesia menghalang pekerja yang mengadakan tunjuk perasaan di kawasan perindustrian Tangerang di pinggir Jakarta semalam bagi menuntut suasana kerja dan gaji yang lebih baik. - REUTERS
JAKARTA 3 Okt. - Ratusan ribu buruh menyertai Mogok Nasional di seluruh Indonesia hari ini dengan matlamat mendesak kerajaan menyemak semula undang-undang bagi melindungi hak pekerja.
Mogok Nasional yang digerakkan oleh Kesatuan Seluruh Pekerja Indonesia (KSPI) itu menyenaraikan tiga tuntutan utama yang perlu disemak semula oleh pihak berkuasa.
Ketiga-tiga tuntutan itu ialah menghentikan sistem perkhidmatan kerja secara kontrak, menaikkan upah buruh serta memberikan manfaat jaminan kesihatan kepada para pekerja.
Seandainya, ketiga-tiga tuntutan itu tidak dipenuhi, fasa kedua gelombang aksi tunjuk perasaan buruh akan diadakan dalam skala yang lebih besar.
Bahkan, ada kesatuan pekerja lain iaitu Kesatuan Pekerja Logam Indonesia (FSPMI) yang tidak akan teragak-agak melancarkan mogok selama sebulan di kota Jakarta.
"Kami akan meneruskan aksi tunjuk perasaan selama sebulan, seandainya pemerintah tidak mahu memenuhi tuntutan kami," kata penyeleras mogok berkenaan, Saiful Bahri dalam ucapannya.
Mogok Nasional yang bermula seawal pukul 7 pagi ini dan berakhir pada pukul 4 petang telah menyebabkan aliran trafik di beberapa wilayah Indonesia lumpuh, sekali gus menjejaskan kegiatan ekonomi.
Industri makanan dan minuman Indonesia dilaporkan mengalami kerugian berpuluh juta ringgit akibat aksi demonstrasi dan Mogok Nasional hari ini seperti diumumkan Timbalan Ketua Gabungan Pengusaha Makanan dan Minuman Indonesia, Yusuf Hadi.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan dijangka seramai dua juta buruh akan turun padang untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar menunaikan permintaan mereka.
Demonstrasi besar-besaran itu turut menyebabkan pelbagai kawasan perindustrian lumpuh kerana sebilangan besar pengurusan memberi pelepasan kepada buruh mereka untuk menyertai Mogok Nasional.
Kawasan industri Pulogadung atau Jakarta Industri Estate Pulogadung (JIEP) lumpuh akibat ribuan buruh yang bekerja di 300 kilang di situ menyertai mogok berkenaan.
Mereka yang tidak menyertai demonstrasi itu pula memilih untuk tidak keluar rumah memandangkan kesemua syarikat memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk menyertai Mogok Nasional.
Di Bandung, Jawa Barat, ribuan buruh mengepung pejabat Gabenor wilayah itu dan di depan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah di Kompleks Gedung Sate menyebabkan kesesakan luar biasa berlaku.
Mereka juga bertindak menutup jalan-jalan utama.
Di Batam, Kepulauan Riau pula, jalan menuju pusat pemerintahan yang menempatkan pejabat kerajaan ditutup oleh polis berikutan berlakunya demonstrasi yang sama. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121004/lu_03/Pekerja-Indonesia-lancar-mogok#ixzz28KxA31Ea
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment