Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Pejabat JTK, SPR, SPRM Terengganu dipecah masuk



Kuala Terengganu: Pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma Persekutuan di Jalan Pejabat di sini, dipecah masuk, semalam.

Hanya pejabat JTK dan SPR mengalami kerugian apabila penjenayah melarikan sejumlah wang tunai yang disimpan dalam laci dan peti besi, manakala tiada sebarang kerugian dilaporkan di SPRM.

Kejadian disedari kakitangan agensi yang mendapati pejabat di tingkat enam berselerak sebaik tiba jam 7 pagi, selain kesan umpil di pintu dan tingkap.
Suspek hanya memfokuskan wang tunai saja kerana tiada barang lain hilang termasuk komputer riba milik kakitangan yang ditinggalkan di pejabat” - Fakhrul Razi Ab Wahab, Pengarah SPR Terengganu
Pejabat berterabur

Penolong Pengarah JTK Terengganu, Burhanuddin Jusoh, berkata kejadian itu disedari Ketua Kerani, Rohana Abdullah, yang terkejut melihat pejabat berterabur seolah-olah dipecah masuk.

Berikutan itu, kakitangan pejabat membuat pemeriksaan dan mendapati bilik Burhanuddin dan bilik Pengarah, Mohd Azmi Muhammad serta laci semua kakitangan diselongkar.

“Pemeriksaan mendapati penjenayah melarikan wang tunai yang disimpan dalam laci, tetapi tidak mengambil komputer dan dokumen penting. Suspek dipercayai masuk melalui koridor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPR Terengganu, Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata kejadian disedari pembantu tadbir jam 7.15 pagi dan pemeriksaan mendapati kabinet besi dan dua bilik termasuk bilik beliau dan timbalannya diumpil.

Masuk melalui tingkap

Katanya, suspek dipercayai masuk melalui tingkap sebelum mengumpil pintu bilik dan kabinet besi serta melarikan peti mengandungi wang tunai sebanyak RM250.

“Suspek hanya memfokuskan wang tunai saja kerana tiada barang lain hilang termasuk komputer riba milik kakitangan yang ditinggalkan di pejabat,” katanya.

Susulan kejadian itu, laporan dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu oleh JTK dan SPR Terengganu jam 8.10 pagi dan 9 pagi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Siasatan awal mendapati suspek masuk ke dalam bangunan itu melalui tangga belakang dan masuk melalui tingkap sebelum melarikan diri menggunakan tangga kecemasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment