Mohd Hambali Mohd Faizal Koh dibawa keluar dari kawasan mahkamah, semalam.
Mohd Hambali Mohd Faizal Koh dibawa keluar dari kawasan mahkamah, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda yang ingin tunjuk ‘nelang’ dengan mengajak seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor bergaduh membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Hambali Mohd Faizal Koh, 25, mengaku cuba berlagak ‘gangster’ terhadap Inspektor Mohd Hafizul Ashraff  setelah tidak berpuas hati apabila mengetahui abangnya akan ditahan selepas kediaman mereka di rumah pangsa Gelong Bilai, Pasir Panjang, di sini, diserbu, Selasa lalu. bersamaan 16 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 pagi.
Dia mengaku menghalang Inspektor Mohd Hafizul Ashraff selaku penjawat awam dalam menjalankan tugasannya yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, semasa serbuan dilakukan, keluarga Mohd Hambali seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama dengan hanya mendiamkan diri apabila pintu hadapan rumah diketuk beberapa kali.
Bagaimanapun, selepas menunggu lebih kurang 10 minit, anggota bertugas telah membuka pintu rumahnya sebelum memberitahu kepada ahli keluarga untuk menahan Mohd Azrin iaitu abang kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang turut berada di situ naik angin dengan memarahi dan melawan cakap anggota polis serta cuba mencetuskan provokasi apabila mengajak Inspektor Mohd Hafizul Ashraff selaku ketua operasi bergaduh.