Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

Ops Rempit: Ibu, anak perempuan antara ditahan

Ops Rempit: Ibu, anak perempuan antara ditahan - Semasa - Sinar Harian:

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu dan anak perempuannya berusia 17 tahun antara pesalah trafik yang ditahan dalam operasi mencegah Mat Rempit oleh Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar Padang Midin dekat sini hari ini.
   
Wanita berusia 36 tahun itu mendakwa kedua-dua mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga angkat di sekitar kawasan itu ditahan atas kesalahan tiada memiliki lesen memandu.
   
Dalam operasi kali ketiga dari semalam bermula pukul 3 petang hingga pukul 5 pagi tadi, sebanyak 301 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan pemeriksaan ke atas 20 buah kereta dan 417 motosikal.
   
Ketua operasi khas tersebut, ASP Khuzir Abd Majit berkata 13 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan manakala 123 buah lagi diberikan notis arahan pemeriksaan semula.
   
Antara kesalahan dilakukan ialah menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi.
 
"Dalam operasi 14 jam ini kami menahan dua penunggang motosikal di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana melakukan aksi berbahaya manakala empat penunggang ditahan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
   
"Sebanyak 43 buah motorsikal ditinggalkan pemilik yang melarikan diri ketika operasi dijalankan. Kesemua pemilik akan disaman ketika menuntut kenderaan mereka nanti," katanya Khuzir ketika ditemui selepas tamat operasi di sini hari ini.
   
Operasi disertai seramai 99 pegawai dan anggota polis dan enam kakitangan  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu.
   
Menurut Khuzir, operasi mencegah itu akan diadakan lagi agar kegiatan salah dan tidak berfaedah itu tidak berleluasa.
   
Semasa operasi berjalan pelbagai tindakan berani dan nekad kumpulan Mat Rempit dapat dilihat termasuk cuba memboloskan diri daripada sekatan secara bertindak menunggang melawan arus selain memasuki jalan-jalan kecil.
   
Ada juga yang melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka di kedai-kedai makan.
   
Beliau menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak mereka daripada ditahan polis kerana terlibat dalam aktiviti jalanan yang tidak sihat itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment