Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

‘Mini Dhaka’ diserbu


       
SUNGAI BULOH: Sekumpulan warga Bangladesh menjadikan Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, sebagai ‘Mini Dhaka’ apabila menjalankan pelbagai perniagaan termasuk gerai makan, kedai runcit dan kedai gunting rambut bagi mencari pendapatan tambahan.

Malah, ada juga warga Nepal dan Myanmar yang menjalankan perniagaan sama hingga menyebabkan warga tempatan yang berada di kawasan itu seolah-olah merasai berada di luar negara dan bukan di negara sendiri.


Berikutan itu, Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu perkampungan berkenaan, malam kelmarin.

Operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Kanan) Putrajaya, Nik Shanizam Ahmad bermula jam 8 malam itu menyerbu lebih 20 premis di kawasan berkenaan dan menahan 66 warga asing terdiri Bangladesh, Myanmar, Nepal, Kemboja, India dan Indonesia berusia 20 hingga 30 tahun.


Menurutnya, dengan kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota, pihaknya yang menerima maklumat orang awam berhubung kegiatan perniagaan dimonopoli warga asing yang semakin berani dengan memilik sendiri kedai di lokasi itu membuat serbuan.


“Kami membuat pemeriksaan seramai 265 orang dan menahan 66 warga asing iaitu 35 warga Bangladesh, Myanmar (11), Nepal (sembilan), Kemboja (lima), Indonesia (lima) dan India (seorang).

“Kami menahan mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas lawatan sosial serta pas pelajar,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi terbabit, malam kelmarin.


Nik berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati terdapat lebih 20 premis menjalankan pelbagai perniagaan dimiliki sendiri oleh warga asing terbabit terutama dari Bangladesh.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Peraturan Akta Imigresen di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan 15 (1) serta seksyen 39 9b) peraturan Imigresen 1963,” katanya.

No comments:

Post a Comment