Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Marah produk ditiru

Marah produk ditiru - Perak - Sinar Harian:

Marah produk ditiru
Hok Leong menunjukkan perbezaan antara produk tiruan (bawah) dan asli pada sidang media di sini, semalam.
IPOH - Sebuah syarikat menjual plastik pembungkus makanan mendakwa barangan barangan jualannya ditiru oleh sebuah syarikat lain yang dipercayai beroperasi secara haram dan memasarkan produk berkenaan di sekitar negeri ini.

Produk tiruan itu turut didakwa mengandungi bahan tambahan berbahaya, dikenali sebagai 'plasticisers’ yang boleh memudaratkan sistem badan manusia sehingga menjurus kepada penyakit kanser jika kerap dugunakan.

Plastik pembungkus makanan itu dipercayai diimport dari negara China dan kemudiannya dibungkus dan dipasarkan di negeri ini.

Pengurus Pemasarannya, Chong Hok Leong berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelanggan berhubung masalah tersebut pada pertengahan Ogos lalu.

Menurutnya, pelanggan terbabit mendakwa plastik pembungkusan makanan yang dijual semakin tidak berkualiti malah ia semakin menipis.

“Selain itu, dia (pelanggan) turut memaklumkan pemotong yang digunakan dibuat daripada logam mudah karat dan ia amat membahayakan pengguna,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Negeri, Mohd Rawi Abdullah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hok Leong berkata, selepas mendapat aduan, pihaknya segera membuat tinjauan ke semua premis yang menjual produk tersebut.

“Melalui tinjauan yang dijalankan, kami dapat mengesan sebuah pasar mini yang menjual produk tiruan menggunakan jenama yang sama.

“Malah, cara pembungkusannya hampir sama dengan produk asli sehingga menyebabkan pengguna terpedaya dan membeli barangan tersebut tanpa memeriksanya terlebih dahulu,” katanya yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam perniagaan itu.

Seterusnya, dia meminta bantuan Mohd Rawi untuk membawa perkara ini kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri untuk tindakan lanjut.

“Berikutan itu, pada 6 September lalu, saya dengan bantuan Mohd Rawi telah membuat aduan di PPDNKK Negeri mengenai perkara itu.

“Dalam tempoh beberapa hari sahaja PPDNKK Negeri berjaya mengesan penjualan produk tiruan menggunakan jenama kami di sekitar Ipoh, Taiping dan Parit Buntar.  Kami diberitahu semua barangan berkenaan disita dalam operasi tersebut,” katanya.

Hok Leong berkata, perbezaan antara produk asli dan tiruan mungkin tidak dapat dikesan hanya dengan sekali imbas.

Sehubungan itu, dia menasihati pengguna supaya memeriksa terlebih dahulu kandungan produk yang dijual sebelum membeli.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment