Mangsa dihempap jengkaut terima kunjungan JKKKP
Abd Manaf yang mengalami kecederaan di kaki menerima kunjungan JKKP Kelaweh, semalam.
MACHANG - Seorang pemandu jengkaut, Abd Manaf Said, 57, cedera apabila jentera berat tersebut terbalik dan  menghempap kakinya dalam kemalangan di Bukit Besi, Temangan, di sini, baru-baru ini.

Abd Manaf berkata, ketika kejadian,  kenderaan tersebut hilang kawalan ketika dia sedang bekerja  di kawasan bukit itu.

Katanya, dia menyara keluarga termasuk enam orang anaknya, dengan memandu kenderaan berat tersebut sejak  lebih 30 tahun lalu.

“Mujur kecederaan saya tidak parah apabila jengkaut itu hanya menghempap kaki saya. Ini adalah kali pertama saya berhadapan situasi yang mencemaskan sepanjang bekerja sebagai pemandu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kejadian yang menimpa saya ,” katanya ketika menerima kunjungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kelaweh di sini, semalam.

Kunjungan tersebut diketuai Pengerusi JKKP Kelawah,  Mohd Foad Salleh yang juga ketua peti undi Kelaweh.

Mohd Foad berkata, kunjungan tersebut diharapkan mampu menceriakan mangsa, yang merupakan penduduk kampung itu selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Katanya, selain bertanya khabar, program ziarah seumpama itu perlu sentiasa disuburkan dalam usaha mengeratkan hubungan antara penduduk kampung.