Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Lelaki larikan Porsche ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat melarikan sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera dari bilik pameran di No 207, Jalan Bukit Bintang di sini, semalam.
   
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Pendamar, Pandamaran, Klang, Selangor, kira-kira 3 pagi tadi.
   
Beliau berkata bagaimanapun, kereta mewah berwarna emas berharga lebih RM900,000 itu tidak ditemui bersama suspek semasa ditahan.
  
"Kita percaya kereta mewah bernilai hampir sejuta ringgit itu telah diserahkan kepada pihak kedua," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
   
Zainuddin berkata suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan polis sedang menyiasat kemungkinan kejadian itu melibatkan sindiket.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi semalam, seorang lelaki berpakaian kemas dan bertopi telah memasuki bilik pameran tersebut dengan berpura-pura untuk berjumpa seorang kakitangan di syarikat itu sebelum naik ke tingkat satu dan menggeledah meja sebelum menemui sampul surat yang mengandungi kunci kereta berkenaan.
   
Lelaki tersebut kemudiannya turun dan keluar dari ruang pameran sambil menekan kunci bagi mengesan lokasi dan setelah menjumpai kereta itu dia terus memecut kereta yang belum didaftarkan itu menuju ke arah Bukit Bintang.
   
Sehubungan itu polis mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, beralamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana dekat sini yang dipercayai boleh membantu siasatan.
   
Berdasarkan rekod, pemuda itu mempunyai rekod jenayah lampau antaranya tiga kes curi kereta dan dua kes samun dan selebihnya adalah kes berkaitan dengan dadah. - Bernama

No comments:

Post a Comment