Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Lelaki cabut lepas kereta dipandu rempuh rumah


       
GUA MUSANG: Seorang lelaki melarikan diri apabila kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Batu Papan Luar, di Jalan Pulai Lama, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 10.20 malam itu, pemandu kereta Proton Wira berusia 30-an yang dalam perjalanan dari Bandar Baru menuju ke Kampung Pulai, dekat sini, cedera ringan manakala rumah dirempuh pecah di dinding.


Menurut pemilik rumah, Rozita Ayub, 45, ketika kejadian dia dan ahli keluarga yang tinggal bersamanya termasuk ibunya tiada di rumah kerana ada urusan di Kuala Lumpur dan bergegas pulang melihat rumahnya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, anaknya, Farhani Husni, 26, yang tinggal berjiran memaklumkan kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta terperosok di dinding rumah.


“Ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya terkejut dan sebaik selesai urusan di Kuala Lumpur saya bergegas pulang keesokan harinya.


“Sebaik pulang, saya lihat dinding rumah pecah, manakala pasu bunga pecah dan berselerak. Saya segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ketika kejadian tiada sesiapa di rumah.


“Kebiasaannya ibu sering berehat di ruang tamu berhampiran dinding rumah yang dirempuh kereta itu. Mujurlah ibu tiada ketika itu.

“Bagaimanapun, saya kesal kerana lelaki yang merempuh rumah saya sehingga kini belum berjumpa bagi membincangkan kos ganti rugi untuk rumah kami ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment