Kilang proses karbon ghaib
Kawasan lapang ini menempatkan kilang yang dipercayai hilang oleh pemiliknya. Gambar kecil: MOHD ZAKI
TELUK INTAN - Pelik tapi benar. Itulah yang terjadi kepada sebuah premis kilang berstruktur besi dan zink yang terletak di Batu 13, Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang, dekat sini apabila ghaib tanpa meninggalkan kesan.

Kejadian aneh itu menyebabkan pemiliknya terpaksa membuat satu laporan polis ke atas ‘kehilangan’ premisnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitendan Mohd Zaki Harun berkata, kilang berkenaan telah dibina pada 2005 oleh pemilik premis sebelum mengambil keputusan untuk menyewakannya kepada orang lain.

Menurutnya, seorang pengusaha telah menyewa kilang tersebut dengan harga RM5,000 sebulan untuk memproses karbon aktif di kawasan itu pada tahun 2009.

“Namun, penyewa kilang berkenaan telah menghentikan operasi mereka kerana berhasrat untuk berpindah ke lokasi lain pada Jun 2012 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Jelas beliau, pada bulan sama, pemilik kilang itu telah pergi ke premisnya untuk melihat keadaan kilang dan mendapati ia dalam keadaan yang sama.

“Namun begitu, pada Jumaat lalu, kira-kira jam 10.30 pagi seorang pekerja kepada pemilik kilang tersebut terkejut apabila mendapati struktur premis milik majikannya telah hilang tanpa sebarang kesan.

“Terkejut dengan ‘kehilangan’ itu, pekerja berusia 40-an berkenaan telah membuat satu laporan polis,” katanya.

Sementara itu, struktur bangunan kilang yang berasaskan besi dan zink dan merupakan kilang jenis terbuka dan terletak berhampiran kilang lain di Batu 13, Jalan Bagan Datoh, Hutan Melintang, di sini.

“Ketika kilang tersebut ditinggalkan penyewanya, keadaan kawasan itu kilang berpagar namun kurang sempurna di bahagian belakang dan tiada sebarang pengawasan daripada pengawal keselamatan di situ.

“Pihak kami sedang menjalankan siasatan ke atas pemilik premis yang mengalami kerugian kira-kira RM50,000 dan penyewa kilang. Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.