Khalwat di sawah padi
Pelbagai agensi, NGO termasuk imam terbabit dalam Mespida yang dipengerusikan Kamaruddin di Kampung Raja, semalam.
BESUT - Masalah sosial terutama kes khalwat dilaporkan banyak berlaku di kawasan sawah padi berbanding di chalet murah di daerah ini sejak belakangan ini.

Wakil Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Besut memberitahu, kes tangkapan khalwat di kawasan sawah padi terutama di pondok atau wakaf yang terdapat di kawasan sawah padi menjadi pilihan pasangan bukan muhrim untuk melakukan maksiat.

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Daerah (Mespida) Besut yang dipengerusikan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam, turut melaporkan sebanyak 58 kes tangkapan khalwat direkodkan sehingga September tahun ini.

Menurut wakil Mespida, jumlah itu termasuk masing-masing satu kes minum arak dan tidak menghormati Ramadan.  Statistikitu  turut menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencecah hampir 90 kes.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, mesyuarat yang mengumpulkan ketua jabatan berkaitan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil parti politik adalah sebagai usaha perkongsian idea bagi mencari jalan sesuai dalam perancangan serta tindakan pencegahan jenayah peringkat daerah.

“Pada mesyuarat tersebut, polis berjaya mendapat pelbagai respons, idea dan panda-ngan untuk membanteras jenayah terutama mengatasi masalah penagihan dadah, masalah sosial termasuk rogol serta pergaduhan,” katanya.

Kamaruddin berkata, setakat ini di daerah ini tidak ada lagi kes keganasan rogol sebenar seperti mangsa diculik dalam semak sebelum dirogol sebaliknya membabitkan kes hubungan suka sama suka membabitkan gadis bawah umur.

Menurutnya, peningkatan kes rogol di daerah ini khususnya di Kuala Besut menunjukkan peningkatan apabila sembilan kes dilaporkan sehingga September tahun ini berbanding hanya empat kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kes ini disebabkan masalah sosial yang memerlukan perhatian semua pihak khususnya ibu bapa kerana terdapat kes anak gadis melakukan hubungan seks secara curi-curi dalam bilik tidur sedangkan ketika itu ibu bapa berada di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, menurut ahli Mespida Besut, Mohd Sani Mohd Jahal, langkah polis mengadakan Mespida usaha yang baik kerana polis dapat mendengar pandangan orang awam untuk mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.