Kesal tuntutan tidak dilayan
Mohd Ali dan Mastura menunjukkan perintah mahkamah terhadap bekas tuan rumah sewanya.
GOMBAK - Seorang bapa nekad menyaman bekas tuan rumah sewanya yang enggan membayar ganti rugi setelah menyebabkan anak perempuannya buta pada 1994.

Kejadian yang berlaku di rumah sewa di Simpang Tiga Gombak menyebabkan anak mangsa, Mastura Mohd Ali, 27, buta di sebelah kiri setelah terkena bahan buangan binaan yang dibuang kontraktor dari tingkat atas rumah ketika melakukan pengubahsuaian rumah.

Bapa mangsa, Mohd Ali Mohd Tahir berkata, dia berjumpa dengan bekas tuan rumah sewanya dua minggu lalu untuk menuntut bayaran ganti rugi setelah mahkamah mengarahkan membayar pampasan sebanyak RM45,000 yang sepatutnya dijelaskan secara ansuran bermula 2009.

Menurutnya, tuan rumah tersebut bagaimanapun enggan menjelaskan ganti rugi tersebut dan mendakwa tidak tahu keputusan mahkamah selain mendakwa dirinya merapu dalam membuat tuntutan ini.

“Walaupun saya menunjukkan salinan perintah mahkamah kepadanya tetapi dia tetap enggan memberi kerjasama dan tidak mahu membayar ganti rugi selain memberi alasan lain bahawa dia seorang ibu tunggal.

“Saya memberi masa kepadanya untuk menjelaskan ganti rugi dalam tempoh dua minggu atau terpaksa mengambil tindakan menyamannya sekali lagi,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tuan rumah tersebut mendapat perintah mahkamah supaya menjelaskan ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM300 sebulan bermula pada 4 September 2009 sehingga jumlah pampasan selesai.

Mohd Ali berkata, tunggakan selama dua tahun sebanyak RM12,600 perlu dijelaskan dahulu oleh tuan rumah kerana mahu menggunakan duit tersebut untuk rawatan mata anaknya.

Sementara itu, Mastura ketika menceritakan detik malangnya berkata, dia baru berusia sembilan tahun dan mata kirinya terkena serpihan simen dan kapur yang dibuang kontraktor dari tingkat atas rumah sewa di mana keluarganya menyewa tingkat bawah.

“Disebabkan kejadian itu, mata kiri saya buta dan menjalani pembedahan sebanyak tiga kali untuk membuang selaput. Setelah beberapa kali pembedahan, mata kiri saya kini rabun.

“Mata saya hanya boleh sembuh sekiranya ada pihak lain yang ingin menderma mata,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun dan bekerja sebagai jurujual.

Mastura berkata, disebabkan kejadian itu juga, pergerakannya agak terhad kerana  penglihatannya kabur dan lebih malang lagi apabila baru-baru ini turut ditimpa kemalangan dan menyebabkan kaki serta kepalanya mengalami kecederaan.

Katanya, dia berharap kes tuntutannya tidak berpanjangan dan meminta bekas tuan rumah tersebut menjelaskan ganti rugi kerana dia memerlukan duit untuk membuat rawatan.