Kereta Adun kena pecah
Lih Kang menunjukkan serpihan cermin tingkap yang dipecahkan penjenayah dalam kejadian yang berlaku, awal pagi semalam.
IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang sekali lagi menjadi sasaran penjenayah apabila cermin bahagian pemandu kereta jenis Honda CR-V miliknya dipecahkan dalam satu kejadian di Taman Melor, Pasir Puteh, awal pagi semalam.

Difahamkan, insiden itu bukanlah yang pertama menimpa wakil rakyat PKR itu kerana rumahnya pernah dipecah masuk pada tahun 2009 dan 2011 sehingga mengalami kerugian lebih RM10,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam, Lih Kang bersama isteri serta ibu bapanya sedang nyenyak tidur dikejutkan jiran yang tinggal di belakang rumahnya.

Jiran beliau yang juga seorang pegawai polis sempat melihat kelibat dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan pekarangan rumahnya selepas menyedari tindakan mereka diperhatikan.

“Jiran saya memberitahu dia turut cuba mengejar mereka (penjenayah), namun gagal,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Beliau bagaimanapun bernasib baik kerana tiada apa-apa barangan berharga miliknya sempat dilarikan penjenayah dan kerugian dianggarkan mencecah ratusan ringgit.

Lih Kang turut meluahkan rasa kecewa dengan kejadian jenayah yang berleluasa dan menganggap isu itu serius serta tidak patut dipandang ringan pihak berkuasa terutama kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan tahap keselamatan orang awam di negeri ini dan mendakwa peruntukan sebanyak RM200 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan keselamatan gagal memperbaiki persepsi masyarakat bahawa jenayah di negara ini masih terkawal.

“Kejadian kali ketiga yang menimpa kami sekeluarga membuktikan tahap keselamatan orang ramai masih tidak terjamin,” katanya.