Kenderaan terbabas, 2 maut
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua mangsa terbabit terbabas ke dalam parit. Gambar kecil: Buniamin
Kenderaan terbabas, 2 maut
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
RANTAU PANJANG – Dua lelaki ditemui maut dalam pacuan empat roda dinaiki yang terjunam ke dalam parit di simpang Kampung Kuala Kwong, Lubok Setol, semalam.

Kedudukan lokasi kejadian agak jauh dari kediaman penduduk menyebabkan kemalangan menimpa kedua-dua mangsa disedari penduduk menjelang tengah hari.

Seorang penduduk, Buniamin Yusuff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Mukim Lubok Setol berkata, dia dimaklumkan kejadian oleh anak saudaranya yang melalui tempat kejadian untuk mencari lembunya.

Katanya, anak saudaranya memberitahu terdapat sebuah kenderaan di dalam parit berhampiran simpang tetapi tidak dapat memastikan sama ada mangsa masih berada di dalam kenderaan atau telah diselamatkan.

Menurutnya, selepas ke tempat kejadian, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

“Saya memaklumkan kejadian kepada polis sebelum mereka melaporkannya kepada bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian akibat lemas memandangkan kenderaan ditemui dalam keadaan keempat-empat tayar berada di atas.

Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti disebabkan tidak ada pengenalan diri ditemui.

“Kita menemui sekeping kad terdapat nama dan umur, tetapi tidak dapat mengenal pasti pemiliknya kerana usianya terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan mangsa. Justeru kita sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Haliludin berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terbabas kelmarin sebelum ditemui penduduk melalui kawasan kejadian pagi semalam.

Menurutnya, kenderaan dinaiki mereka dipercayai dari arah Panglima Bayu ke Rantau Panjang.

“Kita turut menemui wang tunai RM3,000 bersama mangsa,” katanya. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar pula berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 11.28 pagi.

Menurutnya, enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mansor Mohd Nor ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

Menurutnya, ketika sampai ke tempat kejadian, anggota mendapati keempat-empat tayar kenderaan berada di atas dan bahagian kabin ditenggelami air.

“Kita terpaksa menarik pacuan empat roda supaya berada dalam keadaan tegak untuk mengeluarkan mangsa. Kedua-dua mayat berada di tempat duduk belakang ketika usaha mengeluarkannya dilakukan, bagaimanapun kita tidak dapat mengenal pasti kedudukan sebenarnya memandangkan kenderaan terpaksa ditegakkan untuk mengeluarkan mayat,” katanya.