Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Kampung ditenggelami ombak

Kampung ditenggelami ombak - Terengganu - Sinar Harian:

Kampung ditenggelami ombak
Busu (dua kiri) menjadikan pondok di bawah pokok ketapang di tepi pantai tempat berkumpul dengan kawan-kawannya mengenang kembali kisah silam.
Kuala Terengganu – Siapa sangka kampung kecil yang indah di tepi laut ini pernah ditenggelami ombak besar setinggi pokok kelapa sehingga ratusan penduduknya terpaksa dipindahkan ke tempat lain.

Tragedi yang berlaku tahun 1986 itu bagaimanapun masih kukuh dalam ingatan penduduk Kampung Tanjung Pantai di Kuala Terengganu.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengakui, mereka sangat terkejut dan panik kerana tidak menyangka cuaca buruk yang berselang ribut petir itu akhirnya membuatkan kampung halaman mereka tenggelam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pantai, Busu Yaakub berkata, dalam suasana kelam kabut itu, dia sempat keluar dari rumah dan menuju ke tepi pantai sambil melaungkan azan sekuat hati.

“Pada masa itu, saya tidak dapat berfikir banyak dan melakukan apa sahaja yang terlintas sambil mendoakan keselamatan penduduk.

"Saya lihat penduduk lari bertempiaran menyelamatkan diri, ibu bapa menggendong anak kiri dan kanan dan melarikan diri sekuat hati, kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana kejadian berlaku begitu pantas," katanya.

Kata Busu, mereka berlari menyelamatkan diri ke kawasan pembinaan Astaka yang kini menjadi salah satu pusat membeli belah terkenal di Kuala Terengganu sebelum dipindahkan ke Chendering.

"Ratusan rumah di kampung ini yang dulunya  hanya berlantaikan kayu nibong, berdindingkan buluh dan berbumbung nipah lenyap sekelip mata, semuanya musnah dan tidak ada apa yang tinggal, kami tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Penduduk tinggal di tapak pembinaan pusat beli-belah Astaka  sementara menunggu  kerajaan menyiapkan  rumah panjang yang terletak di Pantai Pandak, Chendering.

Kampung Pantai Teluk 'berkubur'

Kini penduduk asal Kampung Tanjung Pantai hanya tinggal 20 peratus sahaja kerana tanah tapak rumah digunakan bagi tujuan pembangunan.

Dahulunya, kawasan Taman Selera Tanjung yang ada kini juga sebuah perkampungan namun telah terhapus dek pembangunan yang kian pesat di pusat bandar raya ini.

“Kampung Pantai Teluk juga sudah 'berkubur' yang kini diganti dengan Dataran Shahbandar,” katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Pantai Teluk berpindah ke Gong Kapas, Durian Burung, Seberang Takir dan Padang Nenas setelah kediaman masing-masing terpaksa dirobohkan bagi tujuan pembangunan selari dengan pengiktirafan Kuala Terengganu sebagai bandar raya.

Biarpun dahulu kampung tersebut tidak mempunyai pembangunan sepesat sekarang, namun kata Busu, Kampung Pantai Teluk pernah menjadi lokasi persinggahan pesawat mengisi minyak untuk ke kawasan tertentu.

Aktiviti utama penduduk kampung ketika itu ialah nelayan, tidak kira tua atau muda, semuanya meredah ombak untuk menangkap ikan.

"Kampung ini terkenal dengan perahu panjang kerana banyak digunakan penduduk untuk menangkap ikan, disebabkan saiznya yang panjang, perahu itu menjadi tarikan ramai," katanya.

Namun kini, pekerjaan itu hanya tinggal sejarah, penduduk kampung kini sudah bergelar orang bandar.

"Tidak ada lagi nelayan di Kuala Terengganu kerana kebanyakan penduduk bandar kini bekerja sendiri mahupun makan gaji dengan kerajaan dan sektor swasta," katanya.

Bimbang rumah bakal dirobohkan

Biarpun banyak pembangunan dilakukan di Kuala Terengganu tetapi kehilang satu demi satu kampung di dalam bandar raya ini meninggalkan kesan duka di hati penduduk.

Kata Busu, penduduk kampung bukan menolak pembangunan namun biarlah perkampungan di dalam bandar raya ini dikekalkan.

"Mungkin kita boleh jadikan ia sebagai tarikan pelancong dengan adanya imej tradisi di tengah pusat bandar raya.

"Pelancong mahu melihat sesuatu yang unik dan lain daripada apa yang ada di tempat mereka, mungkin ini salah satu cara yang unik untuk membuatkan mereka lebih kagum dengan negeri kita," katanya.

Penduduk kini dilanda kebimbangan apabila kediaman yang ada pun bakal dirobohkan untuk pembangunan.

"Biarpun ada pampasan yang diberikan namun, kenangan di kampung ini amat bernilai buat kami," katanya.

Kata Busu, pembinaan jambatan dari Kampung Tanjung Pantai ke Seberang Takir juga memberi kesan kepada penduduk di kampungnya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment