Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

Jual secara terbuka

myMetro | Jual secara terbuka:


KUALA LUMPUR: Penjualan ubat batuk secara terbuka di kaunter farmasi memudahkan bahan itu disalah guna golongan remaja untuk kegiatan tidak sihat termasuk mencipta formula lalok.
Jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) berkata, tiada kawalan tertentu mendapatkan bahan berkenaan menjadi punca penggunaannya meluas di kalangan remaja.

“Cukup sekadar RM5 sudah memadai membeli ubat batuk di farmasi. Tidak kiralah sesiapa termasuk kanak-kanak mampu mendapatkannya tanpa perlu pengesahan doktor.
“Tambahan pula mereka mengambilnya bersama bahan lain seperti ubat tidur membuatkan ia lebih ‘kick’ (kuat) berbanding ubat batuk biasa diambil pesakit normal,” katanya.

Menurutnya, kesan pengambilan formula berkenaan kurang berisiko berbanding dadah lain, namun kemungkinan untuk penagih berdepan risiko maut masih ada.

“Khayal atau rasa mengantuk akibat pengambilannya boleh mendorong kepada kemalangan. “Campuran ubat berkenaan bersama bahan terlarang lain pula dipercayai boleh mengakibatkan ancaman seperti kematian mengejut akibat kegagalan jantung berfungsi,” katanya.
Bagi sudut rawatan, setakat ini peranan dimainkan oleh Klinik Cure & Care Malaysia di bawah AADK adalah menyediakan sokongan daripada segi aspek psikologi mengelak penagih berterusan bergantung pada bahan terbabit.

“Oleh kerana mereka penagih minor atau bawah umur, kesan bahan berkenaan masih boleh dikawal seandainya mereka sudi menawar diri dalam proses pemulihan.
“Sesi rundingan dan perkongsian kumpulan sesama mereka adalah medium pemulihan terbaik. Selain itu, kita memohon ibu bapa memantau dan membawa anak membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti setakat mana kroniknya masalah penagihan dihadapi,” katanya.

Ditanya mengenai usaha aspek penguatkuasaan, AADK melihat aspek berkenaan tidak begitu efisien tanpa kerjasama semua pihak.

“Kami lebih gemar semua pihak memainkan peranan masing-masing. Penguatkuasaan saja tidak memadai bagi mengekang masalah terbabit.

“Seharusnya peranan seawal di rumah, iaitu pemantauan ibu bapa, diikuti keprihatinan masyarakat dan pembabitan beberapa agensi berkaitan boleh merintis usaha berkesan dalam melahirkan generasi muda bebas dadah,” katanya.

No comments:

Post a Comment