Senkaku
Letupan pada enjin utama dikatakan menjadi punca kapal kargo milik China ini terbakar. Foto: AFP
TOKYO - Walaupun hubungan China dan Jepun agak tegang berikutan pertikaian di wilayah Laut China Timur, namun perkara itu tidak menghalang pihak berkuasa negara matahari terbit tersebut untuk menyelamatkan 64 pelaut dari Beijing selepas kapal kargo terbakar, Sabtu lalu.
Pengawal pantai di Jepun segera menghantar kapal peronda ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 150 kilometer dari tenggara Okinawa selepas menerima laporan mengenai insiden itu daripada pihak berkuasa Taiwan.
Semua pelaut kapal pengangkut tersebut berjaya diselamatkan secara berperingkat dan tiga daripada mereka dilaporkan cedera.
Difahamkan, konflik antara kedua negara itu semakin memuncak selepas Jepun berhasrat untuk membeli gugusan pulau tidak berpenghuni yang dinamakan Senkaku oleh negara tersebut  manakala China pula menamakannya sebagai Diaoyu. -AFP