Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Identiti dicuri, gaji ditolak


       
PETALING JAYA: Seorang editor audio visual di Tourism Malaysia mendakwa terpaksa menanggung kerugian apabila gajinya dipotong RM361 sebulan sejak lebih setahun lalu selepas identitinya digunakan ‘peminjam hantu’ untuk membuat pinjaman daripada sebuah koperasi yang menyediakan pembiayaan pinjaman peribadi.

Mangsa, Raja Nor Lydiyani Raja Halid Shah, 29, berkata, dia menyedari wangnya dipotong setiap bulan atas akaun pinjaman baru selepas membuat semakan penyata akaun pinjaman lama di pejabat Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kelmarin.


Katanya, dia membuat pinjaman RM10,000 daripada koperasi itu pada 6 Mac 2008 dengan perjanjian pulangan semula secara bulanan berjumlah RM361.11 selama 36 bulan, manakala kadar bunga dikenakan sebanyak 10 peratus.

“Saya membuat bayaran pinjaman Kowaja melalui Sistem Potongan Gaji Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) dan tamat pada Mac 2011.


“Sebaik tamat membuat bayaran pinjaman, saya kemudian membuat semakan baki dan terkejut mendapati jumlahnya berganda daripada pinjaman asal,” katanya.ketika ditemui selepas membuat aduan di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, di sini, semalam.


Raja Nor Lydiyani berkata, walaupun terkejut jumlah hutang semakin banyak, dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka ia kadar bunga yang meningkat dan tidak mengambil tindakan hal berkenaan.

“Saya datang semula ke pejabat Kowaja pada Isnin lalu untuk mendapatkan penyata terkini dan menyelesaikan baki hutang tertunggak sekali gus.


“Saya terkejut apabila dimaklumkan mempunyai akaun pinjaman kedua berjumlah RM17,487.15 yang dibuat pada 20 Jun 2011. Berdasarkan akaun kedua itu, saya perlu membayar balik secara bulanan RM361.11 selama 151 bulan melalui BPA,” katanya.

Katanya, dia tidak tahu mengenai akaun pinjaman kedua itu dan mengesyaki ia perbuatan ejen yang menguruskan pinjamannya sebelum ini dan menyebabkannya menanggung rugi apabila gajinya dipotong untuk membayar pinjaman dibuat individu tidak diketahui.


“Saya kemudian membuat semakan laporan kredit di Bank Negara Malaysia (BNM) dan sekali lagi terkejut mendapati nama saya digunakan untuk membuat satu lagi pinjaman peribadi daripada satu bank dengan jumlah RM17,000.


“Walaupun saya tidak tahu siapa yang membuat pinjaman menggunakan nama saya, tetapi bezanya pinjaman menerusi bank ini dibayar bulanan dengan konsisten oleh individu terbabit,” katanya.


Raja Nor Lydiyani membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.


Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Theng Book berkata, pihaknya memandang serius kes dihadapi mangsa kerana membabitkan kepentingan awam berikutan koperasi itu menjadi pilihan pengguna membuat pinjaman.


“Berdasarkan aduan mangsa, kami turut mengesyaki kes ini ada pembabitan orang dalam dan ada kemungkinan borang pinjaman mangsa dikitar semula untuk membuat pinjaman baru.


“Saya meminta sesiapa yang menghadapi kes sama seperti mangsa menghubungi biro di talian 03-79574211 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

1 comment:

  1. Saya pernah terkena.. nasib baik tak terlambat. Mereka gunakan slip gaji yang saya fax utk pengiraan..mereka buat loan sehingga 80k sedangkan gaji saya tak layak pun..melalui pertolongan seseorang saya telefon utk batalkan..rupa-rupanya mereka dah submit ke bahagian akaun..nasib baik sempat di selamatkan.. orang tu perempuan, nama dia LIN..tak payah la buat dgn koop ni lagi..memang penipu betul...

    ReplyDelete