Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Ibu rayu anak segera pulang

Ibu rayu anak segera pulang - Selangor & KL - Sinar Harian:

Ibu rayu anak segera pulang
Salbiah (tengah) menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anak yang menghilangkan diri sejak 28 September lalu.
KUALA LANGAT - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 11 November depan menghilangkan diri dan dipercayai mengikut tunangnya sejak 28 September lalu.

Ibunya, Salbiah Mat Piah, 57, berkata, anaknya, Nor Hayati Mohd Kormib, 29, yang bekerja di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Raja, Klang keluar dari rumah tanpa memaklumkan sesiapa dan memberitahu hala tujunya.

Menurutnya, sebelum ini tunang Nor Hayati menghubunginya dan meminta kebenaran untuk membawa anak perempuannya itu ke Johor selama tiga hari.

"Saya ragu dengan tindakan tunang anak saya itu dan sejak hari pertama Nor Hayati hilang, tiada panggilan telefon diterima daripada mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Salbiah berkata, keluarganya juga gagal menghubungi pasangan itu kerana talian telefon mereka ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, dia bimbangkan keselamatan anak ketiga daripada enam adik beradik terbabit dan tindakan Nor Hayati itu juga menyedihkannya.

“Nor Hayati tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga malah tiada sebarang pertengkaran atau pergaduhan berlaku di antara kami.

"Bagaimanapun sejak akhir-akhir saya dapati sikapnya berubah kerana banyak mendiamkan diri," katanya.

Salbiah berkata, keluarganya sudah puas mencari Nor Hayati tetapi tidak berjumpa walaupun pelbagai cara dilakukan termasuk meminta pandangan tokoh agama.

Katanya, dia percaya Nor Hayati mengikut tunangnya dan merayu anak perempuannya itu segera pulang ke rumah kerana semua ahli keluarga merinduinya.

Dia yang bekerja sebagai tukang urut dan membuka kedai makan di hadapan rumahnya di Jalan Pusara, Kampung Sijangkang berkata, kehilangannya Nor Hayati benar-benar merunsingkannya memandangkan suaminya kini tidak sihat.

Sementara itu, menantu Salbiah, Farid Fahmi Samsuddin berkata, sehingga kini adik ipar menghilangkan diri hampir 13 hari dan mereka sekeluarga risau sesuatu yang buruk berlaku kepada Nor Hayati.

“Saya yakin Hayati turut menjadi mangsa kepada lelaki yang baru dikenalinya tidak sampai lima bulan itu,” katanya.

Farid Fahmi berkata,  dia meminta kerjasama orang ramai yang mengenali dan terserempak dengan Nor Hayati supaya menghubungi keluarganya di talian 03-31228102 dan 017-2754645 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan kehilangan Nor Hayati telah dibuat di Balai Polis Telok Panglima Garang.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment