Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Geng Oxy bakar mesin ATM lari RM250,000




         
KAJANG: Geng Oxy kembali mengganas. Kali ini memecah dan membakar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Kompleks Diamond, Bandar Baru Bangi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, geng terbabit yang membakar sebuah daripada lima mesin ATM kawasan itu melarikan wang berjumlah RM250,000.


Geng itu turut merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan dikesan polis.

Saksi kejadian berusia 20-an yang enggan dikenali berkata, pada jam 3.30 pagi ketika memandu kereta di kawasan itu, dia melihat seorang lelaki keluar dari bank berkenaan.


Katanya, lelaki itu memegang sebatang besi panjang meluru keluar dan masuk ke dalam sebuah kereta yang sedia menunggu di tepi jalan berdekatan bank.


“Saya hanya melihat seorang lelaki keluar dari bank itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian kebakaran mesin ATM itu pada jam 4.20 pagi selepas seorang saksi membuat laporan selepas mendengar sistem penggera bank berbunyi.

Katanya, siasatan awal mendapati satu mesin ATM dipecah sebelum dibakar dan empat kotak wang dalam ATM itu dilarikan.


“ATM itu dipecahkan menggunakan alat pemotong logam oxyacetylene sebelum dibakar menyebabkan api marak membakar keseluruhan mesin dan ia dipadamkan bomba yang tiba sebaik dimaklumkan kejadian itu.

“Terdapat lima mesin ATM di kawasan kejadian dan ketika itu, tiada pengawal keselamatan bertugas,” katanya.


Menurutnya, CCTV dalam bank itu juga dirosakkan mereka sebelum memecahkan dan membakar mesin berkenaan.


“Jumlah kerugian dan suspek masih dalam siasatan,” katanya.


Harian Metro melaporkan, pada 2 Julai lalu sekumpulan lapan lelaki dipercayai Geng Oxy kerana menggunakan modus operandi alat pemotong logam oxyacetylene ketika merompak mengambil masa kurang sejam untuk memotong pintu empat mesin ATM sebelum melarikan wang berjumlah RM1.17 juta dalam kejadian di sebuah pasar raya besar di Wangsa Maju.

No comments:

Post a Comment