Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Empat tersepit di tempat duduk




         
KUANTAN: Empat individu termasuk seorang wanita warga China yang bekerja di sebuah pusat kecantikan di bandar ini, maut apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Haji Ahmad di sini, jam 3.30 pagi semalam.

Mereka yang maut ialah pemandu Nissan Skyline GTR, Tan Kah Yong, 24, dari Klang, Selangor dan penumpang yang juga wanita warga China, Bao Shanshan, 26, manakala dua yang lain ialah pemandu Nissan Skyline 250 GT, Go Haw Wei, 20, dari Taman Impian, Beserah, dan penumpangnya, Koay Khor Liang, 21, dari Jalan Bukit Sekilau, dekat sini.


Kedua-dua kereta itu dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Semambu dan sebaik tiba di tempat kejadian, kedua-duanya bergesel sebelum kereta yang dipandu Go, terbabas melanggar sebatang pokok besar di tepi jalan, manakala kereta dipandu Tan merempuh sebuah bangku batu di tepi jalan berkenaan.

Akibat pelanggaran itu, keempat-empat mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Dua lagi penumpang kereta Nissan Skyline 250 GT yang juga wanita warga China, Wei Lidong, 27, dan Chang Hong Nei, 36, cedera di bahagian leher dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.


Pegawai Penguat Kuasa Trafik dan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika kejadian, dua kenderaan mewah itu dikatakan dalam perjalanan menghala ke Semambu dari bandar ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Tan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan kereta dipandu Go turut mengalami nasib sama mengakibatkan dua kenderaan berkenaan ‘melekat’ pada pokok berasingan.


Katanya, akibat rempuhan kuat itu, semua mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Dua penumpang yang terselamat itu kemudian dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke HTAA oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapat rawatan.


“Siasatan turut mendapati, ketika sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuantan cuba mengeluarkan seorang mangsa (Koay) dia masih bernyawa tetapi meninggal dunia beberapa minit kemudian.


Katanya, semua mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.


Zainalabidin berkata, ketika kejadian permukaan jalan basah akibat hujan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment