Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Ditembak ketika samun kali kedua



Tindakan pantas polis berjaya menangkap salah seorang suspek kes samun bersenjata di Sungai Pelek, Sepang, semalam.
SEPANG 7 Okt. - Tindakan empat penyamun bersenjatakan parang untuk menyamun kali kedua di Pekan Sungai Pelek di sini hari ini menerima padah apabila seorang daripada mereka cedera ditembak polis.
Keempat-empat suspek berkenaan yang menaiki dua buah motosikal mulanya menyamun seorang wanita di hadapan sebuah pasar raya di pekan tersebut pada pukul 1.13 petang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota cuba menjejaki empat suspek itu.
"Kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian, pihak polis melihat keempat-empat mereka cuba menyamun seorang lelaki di tepi jalan raya.
"Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, tiga daripada suspek melarikan diri dan meninggalkan seorang rakan mereka yang kemudian cuba menyerang anggota polis," katanya ketika dihubungi di sini.
Imran berkata, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke paha kiri suspek yang sebelum itu menetak lengan mangsa samun, K. Panner, yang berusia dalam lingkungan 40-an.
Beliau berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu kemudian dihantar ke hospital berdekatan untuk diberikan rawatan.
"Usaha giat dijalankan untuk menjejaki tiga lagi suspek yang melarikan diri. Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk membantu siasatan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan untuk mengetahui sama ada suspek-suspek tersebut pernah terlibat dalam kes jenayah lain sebelum ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121008/je_01/Ditembak-ketika-samun-kali-kedua#ixzz28mO3Nnte
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment