Search This Blog

Thursday, October 25, 2012

Diserang tebuan



         
ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas berkurung lima jam dalam rumahnya berikutan bimbang disengat sekumpulan tebuan tanah dalam kejadian di Simpang Ampat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Mohd Shah Yatim, 54, tiba-tiba ‘diserang’ kumpulan serangga berbisa itu ketika mengambil jering berhampiran rumahnya.


Menceritakan detik cemas itu, Mohd Shah berkata, dia terserempak sarang tebuan tanah sebesar tempayan.

Katanya, sarang tebuan yang tergantung pada dahan pokok durian kira-kira 75 meter dari rumahnya itu dalam keadaan berangkai.


“Mulanya, saya tidak tahu ada sarang tebuan di situ sebelum beberapa ekor serangga berkenaan terbang rendah dan berlegar atas kepala serta badan saya.


“Saya terkejut apabila seekor dari tebuan itu terbang di depan mata menyebabkan saya masuk ke rumah kerana serangga terbabit datang secara berkumpulan,” katanya.

Mohd Shah berkata, dia difahamkan serangga itu bersarang sejak lima bulan lalu hingga saiznya semakin membesar dan bertingkat.


“Panik melihat saiz tebuan sebesar ibu jari, saya berlari masuk rumah sambil melibas tangan ke arah tiga tebuan yang menyerang.

“Tebuan itu turut menyerang isteri (Azizah Isnin, 58) dan saya menyembur racun serangga. Bimbang dengan serangan itu, kami anak beranak berkurung lima jam dalam gelap sebelum menghubungi pihak berkaitan,” katanya.


Menurutnya, dia bersyukur apabila beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah tiba dan memusnahkan sarang tebuan tanah itu pada jam 10.30 malam.


“Saya bimbang sekiranya kumpulan tebuan itu menyerang anak bongsu (Noraishah, 18) yang terlantar sakit akibat kanser paru-paru,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah, Mohd Ridzuan Rahmat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada mangsa.


“Enam anggota JPAM bergegas ke lokasi kejadian sebelum melakukan persediaan rapi untuk operasi pembakaran sarang tebuan terbabit.


“Operasi memusnahkan sarang itu berakhir jam 11 malam berikutan ketinggian dan saiznya yang besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment