Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Disamun tiga warga asing, diacu parang

Disamun tiga warga asing, diacu parang - Semasa - Sinar Harian:

Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud melakonkan semula cara penyamun itu mengugut isterinya.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud menunjukkan tempat persembuyian perompak selepas menyamun rumahnya.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Sohud menunjukkan kayu yang digunakannya semasa memukul suspek yang cuba bertindak melarikan diri.
Disamun tiga warga asing, diacu parang
Mohd Johari (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan dalam kejadian samun dan pecah rumah, pagi kelmarin.
ROMPIN -  “Mak cik, senyap ya, kalau tak saya cederakan cucu mak cik,” demikian suara ugutan dipercayai seorang lelaki warga asing yang menyamun sebuah rumah di Kampung Bangkong dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan Rokiah Harun, 50, diselubungi perasaan takut, apatah lagi perompak terbabit turut mengacu parang ke arahnya, sementara mulut wanita itu ditampal dengan pita pelekat dan kedua-dua belah tangannya diikat.

Rokiah berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu mendatangkan kesan trauma kepadanya, malah sehingga kini, dia masih terbayang-bayang saat parang tajam itu dituju ke arah lehernya.

“Hanya perasaan takut saja yang ada pada masa itu. Saya bimbang nyawa saya dan cucu tidak selamat, apatah lagi perompak terbabit bersenjatakan parang,” katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga perompak itu juga mengenakan topeng muka bagi menyukarkan identiti mereka dikenal pasti.

“Mulanya saya tak sedar rumah dimasuki pencuri kerana masih tidur pada waktu itu sehinggalah terdengar suara orang sedang bercakap. Sebaik saja saya membuka mata, seorang lelaki menyuruh saya diam.

“Seorang lelaki menghampiri saya dan mengambil rantai leher yang saya pakai serta gelang tangan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek dipercayai melarikan diri sebaik saja mengambil barang kemasnya sebelum dia pergi mendapatkan suami di bilik sebelah untuk meminta pertolongan.

Seorang suspek ditangkap

Suaminya, Mohd Sohud Md Amin, 53, berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang cucunya pula tidur di bilik berasingan dan tidak menyedari kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi salakan anjing dari arah jalan raya dan ketika itu juga isterinya masuk ke dalam biliknya sambil kedua-dua tangannya masih berikat.

“Isteri menyatakan rumah kami dimasuki pencuri dan barang kemasnya juga dikebas tiga perompak terbabit.

“Selepas membuka ikatan tangan isteri, saya terus berjumpa dengan seorang saudara yang tinggal berhampiran untuk jejak penyamun itu dalam ladang sawit berhampiran,” katanya.

Katanya, hatinya kuat mengatakan perompak itu berada dalam ladang sawit kerana terdengar bunyi salakan anjing, selain terdapat kesan tapak kaki atas jalan menuju ladang sawit.

“Mulanya saya masuk bersama seorang saudara saya, tetapi masih tidak dapat menjejaki perompak itu, kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Katanya, sebaik saja anggota peronda polis (MPV) tiba, dia bersama lima penduduk kampung dan dua anggota keselamatan masuk ke ladang itu.

Mohd Sohud berkata, setelah masuk ke ladang itu, polis berjaya mengesan kelambu putih yang disangkut dengan daun pelepah sawit.

“Sebaik saja menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga lelaki cuba meloloskan diri, namun hanya seorang sahaja yang berjaya ditangkap manakala selebihnya lari bertempiaran,” katanya.

Katanya, seorang suspek yang cuba melarikan diri itu terjatuh selepas dia yang memegang kayu bertindak memukul bahagian muka mangsa.

“Dua lagi penyamun lari lintang pukang manakala seorang lelaki yang cuba lari di hadapan saya pula dihembat mukanya dengan kayu sebelum dia terjatuh,” katanya.


Perompak dipercayai  warga Indonesia

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, polis kini giat mencari dua lagi suspek dipercayai warga Indonesia selepas dipercayai terlibat dalam dua kes berasingan di tempat yang sama.

Johari berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu di sebuah rumah di Kampung Bangkong pada jam 3.35 pagi dengan mengumpil tingkap rumah mangsa sebelum mencuri wang ringgit dan barangan berharga.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa tidak menyedari rumahnya dimasuki pencuri, namun setelah terjaga daripada tidur, mangsa terkejut apabila rumahnya digeledah suspek dan beberapa barangan berharga mangsa hilang.

“Curiga dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, pagi kelmarin,” katanya.

Katanya, polis juga percaya suspek turut menyamun sebuah rumah di kampung yang sama sejam selepas itu dan turut mengugut seorang wanita agar tidak ‘membuka mulut’ berhubung peristiwa tersebut.

“Suspek dipercayai masuk ke rumah itu dengan mengumpil tingkap besi cermin di bahagian tengah rumah dan menyelinap masuk ke dalam sebelum mengugut seorang wanita dalam bilik.

“Suspek dipercayai mengambil seutas rantai leher bernilai RM6,000 dan gelang tangan RM2,000 selain jam tangan,” katanya.

Katanya, Inspektor Khaliq Mostapa dan pasukan MPV serta penduduk setempat akhirnya berjaya menahan seorang suspek di sebuah ladang manakala dua lagi sempat melarikan diri.

“Semasa serbuan, ketiga-tiga suspek dipercayai sedang tidur dalam kelambu di sebuah ladang, namun mereka terjaga setelah tersedar didatangi sepasukan polis.

“Dua daripada suspek kini bebas dan meminta orang ramai yang melihat seorang lelaki mencurigakan tampil membantu siasatan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment