Dibuang kerja selepas kemalangan
Sham (kanan) meninjau keadaan Ahmad yang kini terlantar sakit selepas mengalami kemalangan.
KERIAN - Seorang pengawal keselamatan tidak menyangka tragedi kemalangan yang menjejaskan fizikalnya  menyebabkan dia dibuang kerja dan kehilangan punca pendapatan untuk menanggung keluarga.

Lebih malang, Ahmad Rawi, 63, tidak diberikan  pampasan disebabkan bekerja di bawah status kontrak dan kini terpaksa menanggung hutang daripada pelbagai pihak.

Ahmad berkata, dia mengalami kemalangan jalan raya di Jalan Siakap pada 8 September lalu apabila motosikal yang dinaiki bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan dia mengalami kecederaan serius di kepala dan dada.

Menurutnya, dia berada dalam koma selama empat hari di Hospital Taiping dan apabila terjaga, baru menyedari tempurung kepalanya retak dan empat tulang rusuk patah.

“Sejak itu, saya hanya mampu terlantar di katil dan kini dijaga isteri serta dua cucu yang ditanggung sebelum ini,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya, di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Akibat kemalangan itu, kontrak perkhidmatan Ahmad diberhentikan majikan serta-merta tanpa pampasan dan dia kehilangan pendapatan sebanyak RM500 sebulan.

Kini, Ahmad terpaksa menanggung kos rumah sewa berjumlah RM200 sebulan, kos persekolahan dua cucu dan perbelanjaan harian keluarganya.

“Sejak tidak bekerja, anak-anak yang menanggung kami dengan pendapatan mereka tidak seberapa,” katanya.

Kesusahan kehidupan Ahmad mendapat perhatian Sham yang melawat ke rumahnya dan berjanji akan memberikan bantuan sewajarnya demi meringankan penderitaan mereka.

“Buat masa ini, kami akan meluluskan pemberian bantuan segera Ahli Parlimen berjumlah RM500  dan saya akan berunding dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meluluskan permohonan Skim Bantuan Pesakit Terlantar berjumlah RM300 sebulan,” katanya.