Dapur kena panah petir
Rahimah menunjukkan kesan kebakaran pada permaidani yang dipijaknya berikutan kejadian dapur rumahnya di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong dipanah petir petang kelmarin.
HULU TERENGGANU - “Secara tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman dan ketika itu jugalah pelbagai barangan dapur pecah dan terpelanting, selain kepingan mozek di bahagian dinding dapur turut pecah,” cerita Rahimah Ngah, 43.

Suri rumah yang tinggal di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong ini, bukan sahaja hampir dipanah petir ketika dia sedang memerah kelapa di dapur dalam kejadian kira-kira 2.30 petang kelmarin, tetapi kain batik dipakainya hampir terbakar tanpa disedari.

Menceritakan detik cemas itu, Rahimah berkata, ketika kejadian, dia hanya berdiri kaku kerana terkejut, biarpun ketika itu kaki kirinya terasa begitu kebas kesan panahan petir berkenaan selain permaidani dipijaknya terbakar.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, hujan renyai-renyai. Dia berada di dapur, manakala salah seorang anaknya, Mohd Fakhri Mohd Zulkifli, 19, berdiri di luar rumah hadapan pintu utama dapur.

Kata Rahimah, anaknya terlihat cahaya seperti bebola api meluru laju ke arah dapur rumah.

“Malah, petir tersebut meluru melalui celah kakinya dan terus terkena sudut dinding bahagian dapur hingga menyebabkan banyak barangan kaca pecah dan terpelanting.

“Mulanya saya fikirkan tong gas akan meletup setelah berdentum kuat, apatah lagi ketika itu saya menggunakan dapur gas kerana ingin memasak," katanya.

Rahimah bersyukur mereka terselamat walaupun kedua-duanya hampir terkena panahan petir.

Akibat kejadian itu, dinding dapur rumah Rahimah turut retak.