Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Beranda rumah terangkat

Beranda rumah terangkat - Pahang - Sinar Harian:

Beranda rumah terangkat
Kelihatan empat tiang beranda masih kukuh sementara bahagian bumbung rosak dalam kejadian ribut itu.
BERA – Ketika berehat di kerusi malas di beranda rumah, seorang warga emas, Umar Usah, 79, terkejut apabila beranda rumahnya terangkat ekoran ribut, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Menurutnya, pada waktu terluang, dia memang suka berehat di beranda, namun tidak menyangka perkara itu berlaku di depan matanya.

“Pada mulanya, hujan tidak lebat namun tiba-tiba cuaca bertukar ribut menyebabkan beranda terangkat dan tercampak ke belakang rumah.

“Ada juga bahagian tiang dan beberapa atap zink mengenai bumbung dapur jiran sebelah,” katanya.

Katanya, mujur ketika kejadian, dia tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, sejurus kejadian, dia segera masuk dalam rumah kerana bimbang jika ada bumbung di bahagian lain pula yang terangkat dan diterbangkan angin kencang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebahagian bumbung di hadapan depan dan bilik diterbangkan ribut manakala peralatan dalam rumah pula basah dan rosak.

Kejadian kali ketiga

Umar berkata, ini adalah kejadian kali ketiga rumahnya dipukul ribut dan kali ini paling teruk.

Katanya, walaupun struktur beranda kukuh, namun tidak sangka ia boleh diterbangkan angin kencang pada ketika itu.

“Sebelum ini, bumbung di bahagian bilik dan dapur pernah diterbangkan ribut, namun kali ini mungkin ribut terlalu kuat menyebabkan beranda pula terangkat.

“Sekarang ini pun masih ada lagi sisa-sisa kayu beranda di atas bumbung tetapi semua itu akan dialihkan hari ini juga,” katanya.

Beliau berkata, setelah tiga kali rumahnya dilanda ribut, mungkin dia akan cuba memohon pinjaman perumahan Felda setelah berbincang dengan anak-anaknya nanti.

Sementara itu, anaknya, Mohd Khairi, 33, berkata, anak-anak tidak kisah jika bapanya mahu membuat pinjaman perumahan itu memandangkan rumahnya rosak teruk akibat kejadian itu.

“Kami tidak kisah sekiranya dia mahu membuat pinjaman, tetapi mungkin sukar bagi dirinya berbuat demikian memandangkan usianya menjangkau 80 tahun.

“Tetapi bagus juga kalu boleh bina baru rumah demi keselamatan ayah dan kakak, Roslinda, 36, serta anaknya yang tinggal bersama di rumah ini,” katanya.

Felda baiki bumbung

Pengurus Rancangan, Azemim Mamat, ketika ditemui di Pejabat Felda Purun, berkata pihaknya sudah melihat keadaan rumah mangsa ribut itu dan melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja membaiki bumbung dan beranda yang diterbangkan ribut.

Menurutnya, berdasarkan penilaian yang dilakukan, anggaran kerosakan antara RM8,000 hingga RM10,000.

Katanya, memandangkan mangsa mendaftar insurans menerusi Felda, dia layak menuntut insurans atau menerima bantuan daripada Tabung Kebajikan Peneroka yang masing-masing tidak melebihi RM10,000.

“Kerja baik pulih itu akan dilakukan segera demi keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya.
Muip hulur sumbangan

Pegawainya, Muhammad Assiya Ulhayat Jahidin berkata, walaupun sumbangan itu tidak besar namun sekurang-kurangnya dapat meringankan kesusahan mangsa.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab Muip untuk membantu mangsa bencana alam terutama mangsa kebakaran, banjir atau ribut.

“Bantuan itu bergantung kepada kerosakan yang dialami mangsa dan kita juga turut menyumbang sedikit bekalan makanan sebagai tanda keprihatinan Muip terhadap mangsa.

“Saya berharap jika masyarakat mempunyai maklumat berkaitan dengan bencana alam mahupun kemiskinan yang melanda jiran mereka, dapat menyalurkan kepada Muip untuk tindakan susulan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment