SHAH ALAM - Seorang lelaki yang baharu dibebaskan kira-kira seminggu dari Penjara Sungai Buloh ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Jalan Kelicap 43, Meru, Klang pada Khamis lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek berusia 26 tahun yang dibebaskan dari penjara pada 29 Sept lepas, ditahan di Jalan Tempis 2, Meru di Klang kira-kira pukul 11.40 malam semalam.
  
"Suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki pada Khamis lepas," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
  
Beliau berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda C100 yang diguna suspek ketika ditahan.
  
Mohd Adnan berkata motif kejadian masih disiasat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabut kesalahan.
  
Dalam kejadian pukul 8.30 malam Khamis lepas, seorang lelaki yang baharu dibebaskan dua bulan dari penjara ditemui mati dengan kecedaraan parah pada kepala.
  
Mangsa dikenali sebagai Lingam, 40, dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan gaduh itu ditemui mati oleh seorang penduduk yang mendakwa mendengar mangsa bertengkar dengan seorang lelaki.
  
Mangsa dipercayai mati akibat dihentak dengan seketul batu besar. - Bernama