Search This Blog

Friday, October 12, 2012

Bebas tuduhan menembak

Bebas tuduhan menembak - Perak - Sinar Harian:

Bebas tuduhan menembak
Keempat- empat Orang Asli Semai meraikan 'kebebasan' mereka bersama peguam Augustine Anthony dan Amani Williams-Hunt.
TAPAH - Mahkamah Majistret Tapah membebaskan dan melepaskan tanpa dipanggil membela diri kepada empat Orang Asli dari suku kaum Semai daripada tuduhan menembak Harimau Belang (Panthera Tigirs) di Hutan Rezab Bukit Tapah, dua tahun lalu.

Yok Rayau a/l Yok Senian, 50 dan Yok Kalong Bah Papee, 51, dari Kampung Gamus, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Jernang manakala Yok Mat a/l Bah Chong, 48, dari Penempatan Orang Asli (Pos) Jernang dan Hassan a/l Bah Ong, 33, yang tinggal Kampung Ras, RPS Jernang dituduh menembak binatang liar yang dilindungi itu menggunakan senapang patah.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nazratul Natrah Mohd Yusof terhadap empat Orang Asli berkenaan yang diwakili peguam bela, Augustine Anthony dan Amani Williams-Hunt.

Setelah mendengar hujah dan bukti-bukti yang dikemukakan oleh peguam bela, Majistret Fairuz Adiba mendapati pihak peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan Prima Facie ke atas empat-empat tertuduh itu dalam kes ini,” katanya.

Sebelum itu, peguam bela, Augustine Anthony yang mewakili kesemua tertuduh, berhujah ada beberapa percanggahan fakta antaranya laporan ujian balistik mengatakan senjata yang diperiksa oleh pakar adalah daripada jenis Steven sedangkan nota serah senjata mengatakan senjata api yang dirujuk secara spesifik itu adalah jenis Stevens.

“Selain itu, mereka dituduh menggunakan senapang, jelas senapang itu diambil secara haram, mereka tidak ada kebenaran atau lesen untuk memiliki.

“Pendakwa mendakwa mereka tembak sedangkan pendakwaan tidak membuktikan mereka memiliki senjata api,” katanya.

Keempat-empat Orang Asli itu dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret Tapah pada 27 Oktober 2010.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 8 pagi hingga 1 petang di Hutan Rizab Bukit Tapah, pada 4 Februari 2010.

Mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 64A Akta Perlindungan Hidupan Liar (Pindaan) 1988, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Harimau Belang merupakan sejenis binatang yang dilindungi sepenuhnya di bawah senarai Jadual Satu, Butiran 35, Akta Perlindungan Hidupan Liar (Akta 76) 1972.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM15,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment