Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

Bas ditunda bawa petaka



Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
         
KAMPAR: Laluan licin akibat hujan selain kenderaan dipandu laju dipercayai punca kemalangan membabitkan enam kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, awal pagi semalam yang meragut nyawa seorang pemandu kereta.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi di Kilometer 302.2 arah utara itu, enam kenderaan terbabit dalam kemalangan iaitu sebuah bas dan lima kereta.


Kejadian itu meragut nyawa pemandu kereta, Lim Cheng Guan, 30, dari Georgetown, Pulau Pinang manakala seorang rakannya yang turut menaiki kereta sama cedera parah.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta hilang kawalan sebelum merempuh sebuah bas sedang ditunda menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke tengah laluan sebelum empat kereta lain dari arah sama gagal mengelak lalu berlanggar antara satu sama lain. Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kereta dipandu mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang terbabas lalu merempuhnya.


Beliau berkata, kereta dipandu mangsa dirempuh pula dua kereta lain menyebabkan kedua-duanya tersepit.


“Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selain tersepit di tempat duduk pemandu hampir setengah jam.


“Mayat mangsa dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari balai Tapah dan Gopeng menggunakan kelengkapan memotong,” katanya.


Katanya, empat penumpang kereta lain bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kampar (HK).

Beliau berkata, siasatan mendapati keadaan jalan di tempat kejadian licin dipercayai selepas hujan.


Menurutnya, bas ditunda itu dalam perjalanan dari Bidor menuju Ipoh selepas mengalami kerosakan enjin.


“Mayat mangsa dibawa ke HK untuk dibedah siasat manakala rakannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kampar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.20 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bersama sebuah jentera.


“Operasi turut dibantu sebuah jentera dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng,” katanya.

No comments:

Post a Comment