Search This Blog

Sunday, October 14, 2012

Banjir kilat berulang lagi

Banjir kilat berulang lagi - Selangor & KL - Sinar Harian:

Banjir kilat berulang lagi
Siti Norma Ashikin menunjukkan tandas rumahnya dinaiki air dalam kejadian banjir kilat semalam.
SELAYANG – Banjir kilat yang sering berlaku setiap kali hujan lebat lebih dua jam di Taman Sri Selayang membuatkan penduduk kini hidup dalam kebimbangan memandangkan musim tengkujuh yang akan datang tidak lama lagi.

Semalam sekali lagi kawasan taman perumahan itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat bermula kira-kira 10 pagi berterusan hingga kira-kira jam 3 petang.

Ia menyebabkan kira-kira 100 rumah dinaiki air hampir setengah meter dan melimpah masuk ke dalam rumah.

Kejadian yang berlaku berulang kali itu menimbulkan kekecewaan penduduk yang mendakwa pernah membuat aduan berhubung perkara itu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Seorang kakitangan swasta, Siti Norma Ashikin, 25, berkata, banjir kilat itu adalah yang terburuk dalam tahun ini.

Katanya, ia bukan kejadian kali pertama kerana tahun ini sahaja lebih tiga kali menimpa penduduk kawasan itu.

Menurutnya, keluarganya telah menetap di kawasan itu lebih 30 tahun tetapi sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.
Dakwanya, sejak hab kereta-kereta terpakai diwujudkan di belakang kawasan taman perumahan itu masalah banjir kilat itu timbul setiap kali hujan lebat lebih dua jam.

“Keluarga saya dah menetap di sini lebih 30 tahun memang tak pernah jadi banjir teruk macam ini tapi sejak tempat jual kereta-kereta terpakai dibina di bahagian belakang rumah kami ini masalah ini mula timbul.

“Dulu ada kawasan takungan air di sini tetapi telah dibina hab kereta-kereta terpakai menyebabkan bila hujan lebat air naik ke kawasan perumahan kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, rumahnya dimasuki air hingga ke bahagian depan dan dapur rumah serta tandas.

Siti Norma Ashikin berkata, MPS dan wakil rakyat kawasan itu diharap dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.

Dalam perkembangan sama, seorang pesara, Hamidah Mohd Salleh, 63, berkata, dia kecewa dengan kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Menurutnya, ia menyebabkan dia terpaksa membersihkan rumahnya yang dimasuki air di bahagian depan dan tandasr

“Ini banjir paling buruk sepanjang saya tinggal di sini kerana selama ini air hanya naik setakat satu anak tangga tandas tetapi kali ini dua.

“Saya harap MPS dapat bertindak sewajarnya untuk mengatasi masalah ini supaya tidak berlaku lagi kejadian ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang penduduk, Amritpall Singh, 42, berkata, MPS sepatutnya membesarkan longkang di kawasan perumahan itu supaya air tidak melimpah ketika hujan lebat.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan kerana penduduk di kawasan perumahan itu membayar cukai.

Jurucakap MPS berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian tersebut esok (Isnin).

No comments:

Post a Comment