Search This Blog

Monday, October 8, 2012

Anak ugut cederakan bapa



KENINGAU 7 Okt. - Bimbang dicederakan anak kandung sendiri, sepasang warga emas di sini nekad membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku terhadap mereka.
Chai Ah Sing, 70, dari Kampung Baitah mendakwa segala-galanya bermula pada hujung tahun lalu, apabila anak bongsunya mengugut untuk mencederakan mereka setelah permintaan untuk menukar hak milik tanah pusaka tidak dipenuhi.
"Saya terpaksa melarikan diri ke rumah kawan untuk menenangkan keadaan dan juga menyelamatkan diri. Sejak itu, anak kami mula menyebarkan perkara buruk mengenai saya kepada adik-beradiknya termasuk adik beradik saya sendiri dan sehingga kini, hampir kesemua mereka membenci saya dan isteri.
"Apa yang lebih memilukan, anak kami bukan sahaja setakat mengamuk mahu memukul saya, dia juga melemparkan kata-kata kesat terhadap isteri saya iaitu ibunya sendiri dengan perkataan kurang sopan," katanya kepada pemberita semalam.
Tambah Ah Sing, selama ini dia hanya pasrah dan bersabar terhadap perlakuan anak lelakinya yang berumur dalam lingkungan 20-an, namun tidak mampu lagi menahan perasaan apabila memikirkan tentang nasibnya bersama isteri yang semakin uzur.
Katanya, laporan itu juga terpaksa dibuat bagi memastikan tanah pusaka yang gerannya kini berada di tangan anak-anak tidak diselewengkan.
"Kami tidak pernah meminta balasan daripada kesemua 11 orang anak yang dilahir dan dibesarkan dengan sempurna, cuma terlalu kecil hati apabila mereka sanggup buat begini pada penghujung usia kami," katanya.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121008/je_03/Anak-ugut-cederakan-bapa#ixzz28mOho6yA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment