Search This Blog

Tuesday, October 23, 2012

Amuk di spa: 3 terbunuh




         
BROOKFIELD (Winsconsin): Seorang lelaki bersenjata menyerbu sebuah spa harian, iaitu tempat kerja isterinya di bahagian barat Amerika Syarikat, lalu melepaskan tembakan menyebabkan tiga maut dan empat lagi cedera, kata polis.

Suspek, yang dikenali sebagai Radcliffe Haughton, 45 tahun, ditemui mati di tempat kejadian di Brookfield, di luar bandar Milwaukee.
Ketua Polis Brookfield, Dan Tushaus berkata, Radcliffe mati akibat tembakan sendiri.

“Kami percaya kejadian ini berkaitan keganasan domestik,” katanya.



Dan berkata, ada kebakaran kecil berlaku di dalam bangunan itu ketika anggota polis masuk dan mendapati suspek sudah mati.


Dan berkata, isteri Radcliffe mahu bercerai dan suspek telah menoreh tayar keretanya awal bulan ini lalu menyebabkan isterinya memohon perintah mahkamah menghalang lelaki itu mendekatinya.

Namun ia tidak menghalang Radcliffe daripada mensasarkan isterinya di tempat kerjanya. Polis tidak dapat mengesahkan lagi sama ada isterinya antara mangsa yang maut.

Polis belum lagi mengenal pasti mangsa yang mati selain daripada penembak itu.

Empat yang cedera tidak parah. Namun begitu seorang mangsa yang ditembak di leher mungkin hamil enam bulan, lapor Berita TMJ4.

Bapa suspek, Radcliffe Houghton Sr memberitahu TMJ4, “Bukan begini caranya saya membesarkan anak lelaki saya. Anak saya menghadapi masalah domestik. Semua orang menghadapi masalah tetapi tidak semua tahu menangani masalah mereka.”

Kejadian tembak itu merupakan kejadian kedua terbesar di Wisconsin, tahun ini.

Ogos lalu, enam terbunuh dalam kejadian tembak secara rawak di kuil Sikh di Oak Creek, Milwaukee. Penyerang dalam kejadian itu membunuh diri.

Sebelum ini, Dan berkata Radcliffe meninggalkan apa yang dipercayai sebutir bom buatan sendiri dan ia menghalang polis daripada menyiasat keseluruhan bangunan dua tingkat itu.

Dan berkata masih tidak dapat dipastikan sama ada tangki propana itu adalah IED atau bekas yang ditinggal oleh pekerja pembinaan. - AFP

No comments:

Post a Comment