Search This Blog

Friday, October 12, 2012

‘Ampunkan saya pak, tiada wang’

myMetro | ‘Ampunkan saya pak, tiada wang’:

BATU PAHAT: “Ampunkan saya pak, saya datang ke sini untuk melancong saja, kebetulan tidak ada wang untuk pulang ke Medan jadi saya bekerja di sini,” rayu wanita warga asing, Ratnawati, 37, selepas ditahan imigresen di Tanjung Labuh di sini, semalam.
Dia seorang daripada 24 warga asing yang ditahan dalam operasi bermula jam 10.30 pagi di sebuah tapak pembinaan di situ.

Menurut Ratnawati, dia baru dua hari bekerja di situ kerana perlu mengumpul wang untuk pulang ke Medan, Indonesia.
“Saya datang di sini semata-mata untuk melancong dan melawat suami yang bekerja di tapak pembinaan ini.

“Kebetulan wang habis dan saya tidak mampu untuk membeli tiket pulang ke Medan, saya kemudiannya mohon untuk bekerja sementara di sini,” katanya yang mendakwa dibayar RM40 sehari.

Seorang lagi warga asing yang ditahan, Vivin, 30, mendakwa dia terpaksa mendaki bukit dan bersembunyi di dalam paya untuk meloloskan diri daripada ditahan.
“Saya tidak mahu lari, tetapi saya takut ditangkap dan dihantar pulang, tiada kerja di sana yang boleh saya lakukan.

“Majikan membenarkan saya bekerja kerana kasihan kepada saya, jadi dia menggajikan saya,” katanya.
Dalam serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Daerah Batu Pahat, A Latiff A Bakar, 80 pekerja asing di situ diperiksa dan 24 daripada mereka ditahan di atas pelbagai kesalahan.

Serbuan dijalankan oleh 53 anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen Batu Pahat, Segamat, Muar serta Johor Bahru.

Semua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam berusia lingkungan 20-an dan 40-an.

Pendatang asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39(b), Akta Imigresen 1959/1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial untuk berkerja di Malaysia, Seksyen 6 (1)(c), Akta Imigresen dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama.

Mereka kemudiannya dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas (DIPN) untuk proses selanjutnya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment