MELAKA - Dua kereta mewah jenis Porsche Panamera dan BMW 5 Series dilarikan enam lelaki dalam satu kejadian samun dan pecah rumah di sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Jalan Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Rabu lepas, dua daripada lelaki terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan parang masuk melalui pintu belakang banglo dua tingkat tersebut sebelum mengancam pembantu rumah yang sedang mengemas di bahagian dapur.

Beliau berkata, ahli perniagaan berumur 50-an yang terdengar bunyi bising kemudian pergi ke dapur, namun diserang dua lelaki terbabit di kepala dengan objek tumpul.

"Kesemua penjenayah terbabit kemudian mengambil beberapa barang berharga seperti barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan beg duit serta melarikan dua buah kereta mewah yang keseluruhannya bernilai kira-kira  RM1.5 juta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, polis yang menjalankan operasi mengesan penjenayah terbabit berjaya menemui kembali dua buah kereta berkenaan yang ditinggalkan di Taman Bahariah Indah, Muar, Johor pada Khamis.

Raja Shahrom berkata, polis telah mengenal pasti empat daripada enam suspek dan kini giat menjejaki mereka.

"Mereka ini dipercayai adalah antara kumpulan yang aktif melakukan samun di beberapa rumah sekitar Melaka dan menjadikan kereta mewah sebagai sasaran utama," katanya. - Bernama