Search This Blog

Friday, October 19, 2012

500 hilang kediaman



Oleh Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my
         
SEMPORNA: Lebih 500 penduduk yang menghuni 81 rumah di penempatan atas air di Kampung Selamat, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, lima penduduk cedera dan ada yang mengalami kesesakan nafas akibat terhidu asal tebal.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.41 pagi.

Beliau berkata, dua jentera bersama 11 anggota dikerahkan dan tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.


“Operasi itu turut mendapat bantuan sebuah jentera selain 12 anggota balai bomba dari daerah Tawau dan dua jentera utiliti dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak.


“Dianggarkan 81 rumah membabitkan lebih 500 penghuni hilang tempat tinggal dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Razali berkata, jarak antara rumah berdekatan antara satu sama lain selain faktor angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas.


“Keadaan itu menyukarkan anggota bomba memadamkan kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penduduk sempat menyelamatkan diri.

“Api berjaya dikawal pada jam 1.50 tengah hari sebelum operasi memadam api tamat sepenuhnya pada jam 3.53 petang,” katanya.


Beliau berkata, lima mangsa cedera ringan dan dihantar ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan.


“Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM1 juta dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.


Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lina, 31, berkata, ketika kejadian dia dan anaknya berada di dalam rumah sebelum terdengar jeritan orang ramai.


Katanya, sebaik menjenguk keluar, dia terkejut melihat api mula merebak tidak jauh dari rumahnya sebelum bergegas membawa anak dan dokumen penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang, Datuk Nasir Sakaran berkata, beliau sudah mengarahkan Jawatankuasa Bencana Alam Semporna mengambil tindakan segera.


“Agensi berkenaan sudah diarahkan menyediakan penempatan sementara di Dewan Masyarakat Semporna dan Balai Seni Inabah Kamal, serta keperluan lain kepada semua mangsa terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment